Vokalis kumpulan rock Wings menasihati Amy Search agar memberi lebih perhatian kepada rakan sekumpulannya Yazit Ahmad yang sakit bertahun-tahun.
Awie berkata tidak wajar Amy, nama glamor Suhaimi Abdul Rahman, sebagai pemilik sekolah tahfiz tetapi mengabaikan Yazit, pemain dram kumpulan Search.
“Kalau saya dalam kumpulan itu, saya akan korbankan sedikit masa untuk menolong. Ini saham akhirat kita. Fikir dekat situ saja.
“Tidak guna kita cerita pasal tahfiz dan jubah tetapi soal akhirat dibuat main macam ini,” katanya ketika diminta mengulas perselisihan di antara Yazit dan ahli-ahli kumpulan Search.
Awie atau nama asalnya Ahmad Azhar Othman berkata ahli-ahli Search seharusnya bermuhasabah dan mengetepikan ego masing-masing.
Tambahnya, Yazit harus dibantu kerana pengasas kumpulan rock itu hanya menjadikan muzik sebagai satu-satunya sumber pencarian.
“Mereka perlu ambil iktibar dan muhasabah diri kerana sahabat saya (Yazit) sakit, jadi tolak ke tepi soal ego,” katanya.
“Kita perlu tolong kerana ini membawa kepada saham akhirat. Kalau kawan kita yang sedang sakit ini, kita nak kenakan dia lagi, ini bukan kawan.
“Tidak kira siapa salah sekarang ini. Yazit sakit, bila dia sakit, dia perlukan wang. Mata pencariannya hanya bermain muzik,” katanya.