Quantcast
Channel: Wowberita
Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997

Nilai barang rampasan berdasarkan laporan pakar – KPN

$
0
0

KUALA LUMPUR – Nilai anggaran barang kemas yang dirampas dari kediaman dan premis berkait dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah berdasarkan laporan pakar yang membuat pengiraan dan penilaian.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, beliau telah dijelaskan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh tentang anggaran barangan dan wang tunai adalah bernilai RM900 juta sehingga RM1.1 bilion.

Menurutnya, kiraan itu dikira oleh pakar-pakar yang membantu polis membuat penilaian semua barang tersebut.

“Anggaran ini berdasarkan kemahiran mereka. Kita ada proses dan prosedur untuk proses pengiraan ini.

“Ia dinilai oleh pakar dan laporan yang kita kemukakan ini berdasarkan laporan yang kita peroleh,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Ops Selamat 13/2018 Hari Raya Aidilfitri, di Bukit Aman, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Fuzi turut membenarkan sekiranya Najib ingin melihat barang tersebut yang kini ditempatkan di Bank Negara Malaysia.

“Jika ada permintaan kita benarkan dan setakat ini tiada permintaan daripada beliau (Najib). Proses itu bagaimanapun akan melalui prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Selain itu, Mohamad Fuzi turut mengalukan mana-mana individu yang mendakwa barang rampasan itu adalah sebagai hadiah untuk tampil kepada polis bagi membantu siasatan.

“Kita tidak tahu siapa yang beri hadiah, melainkan dia yang datang. Kalau ada orang yang bagi hadiah itu mahu tampil, kita alukan. Setakat ini kita tidak tahu siapa yang memberinya,” katanya.

Semalam, dalam temubual di portal berita Malaysiakini, Najib menyifatkan nilai barang rampasan, terutamanya barang kemas, oleh pihak polis dalam siasatan terhadapnya sebagai subjektif dan tidak realistik. Penilaian tersebut adalah subjektif kerana terdapat batu pada barang kemas yang dirampas itu sudah berusia kira-kira 20 tahun.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997