Bekas orang kepercayaan Alex Ferguson, Mike Phelan semalam menghangatkan isu perpindahan bintang penyerang Manchester United, Wayne Rooney dengan mendakwa pemain itu mahu meninggalkan Old Trafford.
Phelan, yang menjadi pembantu Ferguson ketika pengurus senior itu mengendalikan United mendedahkan, Rooney telah meminta untuk meninggalkan juara Liga Perdana Inggeris itu buat kali kedua selepas dia digugurkan dalam perlawanan terakhir liga musim lalu.
Phelan, yang dianggap orang kanan Ferguson memberitahu Rooney bahawa dia berada dalam sebuah kelab terhebat di dunia dan mengapa dia harus memperjudikan masa depannya.
“Wayne sudahpun berada dalam kelab terbaik yang mahu disertai semua orang.
“Jadi, mengapa hendak membahayakan masa depan, kecuali dia mahukan cabaran baharu atau berasakan cabaran yang ada di Manchester United tidak cukup untuk dipenuhi,” ujar Phelan.
Rooney, 27, sudahpun mengadakan rundingan hati ke hati dengan pengurus baharu United, David Moyes yang pernah menjadi mentornya ketika berada di Everton.
Rundingan itu akan disambung hari ini, namun Phelan, yang melepaskan jawatan sebagai pembantu pengurus United bulan lalu percaya, kedua-dua pihak akan menemui kata sepakat bahawa perpisahan adalah jalan penyelesaian terbaik.
“Sudah tentu dalam beberapa hari ini ada banyak perkara yang bakal diperkatakan, beberapa pertemuan akan berlangsung.
“Kita tengok, sama ada harapan masih ada atau mereka mahu menamatkan semuanya sekarang.”
Dua kelab gergasi London, Arsenal dan Chelsea, selain juara Liga Sepanyol, Barcelona serta juara Liga Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) antara yang sedang memantau rapat perkembangan bintang penyerang England itu.
Rooney, yang masih memiliki baki kontrak dua tahun dianggarkan bernilai 25 juta pound (RM120 juta).