Seorang pelajar sekolah maut selepas motosikalnya merempuh sebuah kereta di Kilometer 12 Jalan Lanchang-Mempaga dekat Temerloh semalam.
Iskandar Baharudin, 16, dari Felda Lakum, Lanchang mati di tempat kejadian dalam kemalangan 11.15 pagi itu.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata motosikal mangsa yang turut dibonceng rakannya ditunggang secara bahaya.
“Motosikal itu dilapor secara tiba-tiba meluru keluar dari kawasan semak dalam keadaan tayarnya diangkat (wheelie) dan memasuki jalan utama di hadapan kereta terbabit.
“Pemandu kereta terbabit cuba membrek namun gagal sebelum keretanya merempuh motosikal mangsa,” katanya.
Beliau berkata rakan mangsa kemudiannya melarikan diri ke dalam semak berhampiran.