Kontroversi bekalan ubat bernilai RM1 juta hilang dari stor Farmasi Neuro Sains Hospital Kuala Lumpur pada 27 Disember lalu mula terungkai apabila kesemua ubat-ubatan itu ditemui semula di dalam sebuah tong sampah besar berhampiran bangunan pejabat kerajaan di Jalan Duta pada Ahad lalu.
Ubat-ubatan tersebut ditemui pada pukul 7.30 malam hasil soal siasat terhadap tiga lelaki termasuk seorang tukang cuci warga Indonesia yang ditahan pada 29 Disember dan 1 Januari lalu. Mereka yang ditahan berusia 21 hingga 36 tahun.
Ketika ditemui, kesemua 16 jenis ubat-ubatan untuk kegunaan pesakit berkaitan penyakit saraf seperti sawan itu dimasukkan ke dalam 27 beg pakaian besar.
Difahamkan, semasa ubat-ubatan itu ditemui tiada sampah atau bahan buangan lain dalam tong sampah tersebut.
Jarak HKL dengan tong sampah tersebut dianggarkan kira-kira 10 kilometer. Tong sampah yang diletakkan di kawasan terpencil itu dipercayai menjadi tempat ubat-ubat itu disembunyikan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, tiga lelaki yang ditahan itu termasuk dua kakitangan yang bertugas di HKL.
Susulan penahanan dua lelaki itu, polis menahan seorang lagi kakitangan Farmasi Neuro Sains Hospital Temerloh, Pahang pada 1 Januari lalu.
“Tukang cuci dan kakitangan Farmasi Neuro Sains HKL itu ditahan di tempat mereka bekerja manakala staf dari Temerloh itu ditahan di satu lokasi di ibu negara,” kata beliau pada sidang akhbar semalam.
Akhbar pada Ahad lalu melaporkan, seorang kakitangan HKL membuat laporan polis pada 27 Disember lalu selepas mendapati sejumlah besar ubat-ubatan di HKL berkurangan ketika dia membuat pemeriksaan stok pada pukul 7.25 pagi hari sama.
Polis kemudian menahan dua lelaki yang bertugas di HKL.