Komitmen kerajaan untuk meneruskan pencarian kotak hitam dan pesawat MH370 yang disahkan terhempas di perairan Lautan Hindi bakal memaksa kerajaan mengeluarkan kos perbelanjaan yang tinggi.
Menurut seorang pakar pertahanan, kos untuk mencari kotak hitam tersebut dijangka mencecah atau melebihi kos operasi mengesan bangkai pesawat Air France 447 di Lautan Atlantik pada tahun 2009 yang menelan belanja AS$40 juta (RM132 juta).
Katanya, situasi kali ini berbeza berbanding insiden Air France 447 kerana Perancis mempunyai pelbagai peralatan yang canggih serta keupayaan teknikal mencukupi untuk operasi tersebut.