Pesawat yang tidak dikenali dan berpatah balik sebenarnya dikesan pada radar utama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) beranggapan ia mungkin berbuat demikian kerana menerima arahan menara kawalan trafik udara.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata pesawat tersebut boleh menerima arahan tertentu dari menara kawalan dan melencong ke laluan lain jika dikehendaki tetapi keadaan tersebut bukan sesuatu yang memerlukan tindakan daripada TUDM walaupun ia dikesan di radar utama.
“Kita mengesan (keadaan) berpatah balik itu tetapi tidak menganggap sebagai musuh dan ia adalah mesra pesawat dan mungkin menerima arahan dari menara kawalan, tetapi apa yang kita lihat akhirnya ia (pesawat) hilang (dari radar) di Laut Andaman atau Utara Selat Melaka.
“Untuk makluman bahawa radar kita hanya boleh mencerap sekitar 250 batu nautika sahaja, sebenarnya mana-mana radar di dunia pun hanya boleh mencerap sejauh 250 batu nautika sahaja,” katanya semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Diraja di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Pada 8 Mac lalu, pesawat Malaysia Airlines MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing, hilang daripada skrin radar, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).