Juara bertahan, Manchester United bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut apabila berjaya menewaskan Bolton 3-0 di Old Trafford, malam tadi untuk menyamai pungutan mata pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City.
Meskipun sepakan penalti Wayne Rooney pada minit ke-22 berjaya ditepis keluar penjaga gol Bolton, Adam Bogdan, United tetap garang meledak tiga gol menerusi Paul Scholes (44), Danny Welbeck (74) dan Michael Carrick (83).
Dengan kemenangan itu, United kekal di tangga kedua, sama 48 mata dengan City yang bagaimanapun mampu menjarakkan semula mata apabila mereka turun beraksi menentang Wigan, awal pagi Selasa.
Pasukan di tangga ketiga, Tottenham pula gagal menyamai jumlah mata City dan United apabila sekadar seri 1-1 dengan Wolves di laman sendiri apabila jaringan Luka Modric (51) memadam gol pelawat, Steven Fletcher (22), untuk mereka kini ketinggalan dua mata (46 mata).
Chelsea kekal di tangga keempat dengan mengumpul 40 mata hasil kemenangan tipis 1-0 ke atas Sunderland di Stamford Bridge menerusi jaringan tunggal Frank Lampard (13).
Namun Liverpool gagal memintas Arsenal yang hanya akan turun menentang Swansea, malam ini, apabila mereka sekadar seri 0-0 dengan Stoke di Anfield.
Lain-lain keputusan, Aston Villa seri 1-1 dengan Everton, Blackburn menewaskan Fulham 3-1 dan West Brom tewas 1-2 kepada Norwich.