Quantcast
Channel: Wowberita
Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997

Novel Kampung Girl Bab 1

$
0
0

Novel Kampung Girl hasil karya Umi Kalsom. Jom baca novel Kampung Girl Bab 1 di sini. Untuk membaca novel-novel terbaik, sila ke laman web penulisan2u atau dapatkan di kedai-kedai buku berhampiran.

[Prolog]

PANGGILAN telefon yang diterima sebentar seolah mampu membuatkan nafasnya terhenti. Perkara yang begitu dielak selama ini akan terjadi juga dalam hidupnya. Argh!!! Rasa nak menjerit hingga terkeluar anak tekak. Mummy tak patut! Sahut hatinya.

Pantas saja dia mencapai telefon yang dicampakkan ke atas sofa tadi. Nombor didail dan talian telah disambungkan. Hatinya resah, gelisah. Siapa yang hendak mendengar keluh dan kesah di bibirnya?

“Hello… Adam!” ucapnya gopoh.

“Ini akak Ash… abang Adam tertinggal handphone. Kenapa? Ada benda penting ke?,” suara kakak iparnya, Latifah menampar cuping telinga. Alahai Adam! Kenapa waktu ini juga yang kau nak tertinggal telefon. Sungutnya dalam hati.

“Oh… Akak… tak apalah, nanti Ash telefon balik. Aiman tengah buat apa kak?” sempat lagi dia merisik tentang anak buahnya yang lincah itu.

“Tidur… penat sangat bermain. Tak apa, nanti akak bagitahu abang, Ash call… okey,”

“Thanks kak…,” talian sudah dimatikan. Badannya sudah disandarkan lesu atas sofa dalam pejabat ini. Aduh! Masalah sungguh. Siapa yang minta carikan calon isteri? Aku tak ada buka mulut pun. Mummy ni sengaja tau. Mana yang dia tak suka, yang itulah mummy hendak. Bikin hati gua resah, gelisah saja. Mana nak lena tidur malam macam ni!

Ainnur. Nama gadis yang meniti corong telinganya. Ainnur?! Aduh. Lagilah rasa nak lari berekar jauhnya. Dalam banyak-banyak perempuan, kenapa budak kampung tu juga yang jadi pilihan hati mummy! Aku tak nak! Aku tak suka!

“MUMMY, this is seriously unfair! Kenapa abang Adam boleh kahwin dengan pilihan sendiri tapi Ash tak boleh!” suara Ashraf bergema dalam banglo tiga tingkat itu. Sedaya yang boleh dia hendak menidakkan keputusan yang telah dibuat oleh mummy, Puan Mazlin.

“Kenapa pula tak boleh? Mummy berkenan dengan budak tu… lagipun, bukannya orang lain, sepupu kamu juga… kenapa pula tak nak dengan budak Ainnur tu? Ashraf… budak tu baik tau!”

“Orang tak nak kahwin dengan budak kampung tu… mummy jangan paksa Ash!” buat sekian kalinya Ashraf menghamburkan jawapan yang sama dari bibirnya.

“Nak ke… tak nak ke… kena nak juga! Mummy dah pergi meminang pun. Kamu jangan nak banyak bunyi. Suruh cari sendiri, tak nak… sekarang ni, kamu ikut saja cakap mummy,” Puan Mazlin menoktahkan bebelan. Wajah Ashraf yang sudah terkedu itu dipandangnya lama. Entah apa masalah anak bongsunya ini, disuruh berkawan dengan budak perempuan… seribu satu alasan dia bagi. Tersilap hormon ke? Nak kata minat kaum sejenis… hisy! Nauzubillah… insyaAllah, anak aku masih straight orangnya. Tapi kenapa susah sangat nak ngam dengan perempuan? Muskyil sungguh Puan Mazlin.

“Daddy… tengoklah mummy ni…,” Ashraf yang lama terdiam, tiba-tiba bersuara dan cuba meraih simpati Tuan Shahir pula.

“Ikut sajalah cakap mummy. Daddy pun dah tengok Ainnur tu… nampak padan dengan kamu Ash…,” jawapan Tuan Shahir hanya membuatkan Ashraf makin tercekik. Laki bini dah berpakat nak membinikan aku dengan budak kampung tu. Mana keadilan dalam dunia ni kalau aku dipaksa rela untuk melakukan sesuatu di luar hasrat dan keinginan hati sendiri.

“Ash tak nak!” Ashraf masih lagi dengan degilnya.

“Ashraf Khairi!!!” naik terus pitch suara Puan Mazlin. Budak seorang ini benar-benar menguji kesabarannya.

“Mummy tak nak dengar perkataan tak nak dari mulut kamu. Esok kita nak pergi tengok Ainnur… and that’s it!” Ashraf sekali lagi mati kata-kata. Mummy tidak pernah bertindak dalam halnya. Tidak pernah sama sekali mummy memaksa anak-anak melakukan perkara yang mereka tidak suka. Mummy seorang ibu yang sangat memahami jiwa muda anak-anak, tapi sekarang apa sudah jadi?

“Mummy… Ash tak nak!” rayunya lagi.

“Jangan degil mummy kata,” sekali lagi jawapan Puan Mazlin yang mengecewakan Ashraf. Susah nak bercakap kalau tiada sokongan yang kukuh. Adam! Dialah satu-satunya harapan yang Ashraf ada. Dia perlukan sumbangan ikhlas berbentuk pujukan dari Adam supaya mengubah keputusan Puan Mazlin. Gila! Takkan mungkin aku berkahwin dengan budak kampung tu.

‘Persidangan’ kecil yang dihadiri tiga orang manusia itu dibubarkan. Puan Mazlin dengan Tuan Shahir awal lagi sudah memanjat tangga ke bilik mereka. Tinggallah Ashraf sendirian yang sedang berteleku di ruang tamu. Bila otak tengah stress macam ini, terasa hendak melakukan yoga pula. Mungkin boleh tenangkan sedikit mindanya.

‘Dei! Nak tenang pergi ambil wuduk dan solatlah’.

Mata Ashraf yang baru saja hendak terkatup untuk memulakan sesi yoga, kembali terbuka luas. Solat. Hajat. Terus dia berdiri tegak dan memulakan langkah untuk sampai ke bilik. Ujian apakah yang ditulis buat dirinya? Seawal usia 28 tahun, dia sudah dipaksa untuk menamatkan zaman bujangnya.

‘Awal ke 28 tahun tu?’ desis hatinya sendiri.

‘Awal la! Aku belum puas hidup membujang!’ sahutnya laju.

“Mummy dah bagi berapa tahun untuk Ash cari calon sendiri… tapi apa yang Ash bawa balik rumah? Hari-hari fail tebal. Hari-hari sibuk meeting sana-sini. Dah mengalahkan daddy pula busy kamu ni… bilanya nak kahwin kalau macam ni?” bebelan Puan Mazlin terngiang-ngiang di telinga. Huish! Tak tenang langsung telinganya. Dah macam tape rosak, asyik mengulang-ulang ayat itu saja dalam kepalanya.

Niat asal untuk menunaikan solat hajat seakan terbantut. Terus saja langkahnya dipanjangkan ke arah katil. Dapat baring atas tilam yang empuk ini pun best juga. Tangannya didepakan luas memenuhi ruang katil itu.

Kalau kahwin, kena kongsi bilik. Kongsi katil. Kongsi… err… terkelu lidah Ashraf sebentar. Macam-macam nak kena kongsi ni. Salah satu sikapnya yang terbawa-bawa dari kecil, dia tidak suka berkongsi barang miliknya dengan siapa pun. Lebih-lebih lagi dengan si budak kampung itu. Selalu kalau mereka balik kampung untuk beraya, ada saja barangan miliknya yang akan menjadi igauan Ainnur. Tak faham betul aku! Barang aku, asal yang dia suka sangat! Aku tak suka orang suka-suka kat barang yang aku suka.

‘Dei! Berapa banyak suka daa…’

‘Suka hatilah!’.

Minda Ashraf dah berselirat. Badannya yang tergolek-golek atas katil tidak membantu untuk menyelesaikan apa-apa masalah. Bertambah sesak adalah.

“Esok kita tengok Ainnur!” ayat Puan Mazlin menyapa kembali. Eh, tunggu sebentar! Kenapa ayat itu seolah tak tercerna dalam otak aku tadi? Esok…

Seakan tersedar tentang sesuatu. Esok pergi tengok Ainnur?! Esok nak pergi utara?! Apa yang mummy aku tengah fikir ni? Jangan nak buat gila. Aku takkan ikut sebab esok aku ada appointment dengan klien penting syarikat. Tak ada maknanya aku nak buang masa pergi ke utara semata-mata nak kena tengok si budak kampung tu. Kampung girl yang sememeh. Mesti habis saja SPM dah praktis siap untuk jadi calon isteri mana-mana lelaki. Budak kampung yang tipikal.

Hanya kutukan lahir dalam hatinya. Foto yang dihulurkan oleh Puan Mazlin tadi tidak dialihkan langsung. Dibiarkan saja terkubur dalam sampul putih itu. Disebabkan hatinya tidak ingin dengan budak kampung itu langsung dia pun tak teringin nak menatap wajah yang sudah lama hilang dari bayangan mindanya. Ainnur! Aku tak tengok pun dah boleh agak sikit-sikit macam mana rupa kau. Mesti macam nenek kebayan! Dengan kain batik dan baju kedah yang seringkali tersarung di tubuh Ainnur, sedikit pun tak ubah macam nenek tua muka budak kampung itu.

Sedar tak sedar, dalam mengutuk mengata Ainnur, akhirnya Ashraf terlena dibawa mimpi jauh nun ke utara.
________________________

[Bab 1]

LENGAN baju kedah sudah disenteng ke paras siku. Dengan penuh gaya dan lagak seperti pemain professional, batu sejumlah tujuh biji dilemparkan ke atas lantai. Tangan dengan penuh seni diorak untuk memenangi pertandingan tidak rasmi ini. Pertandingan apa ya? Pasti tak susah nak meneka kan? Batu serembanlah!

Ainnur semangat sekali meneruskan balingan batu. Pelbagai aksi yang dipamerkan bagi menipiskan semangat pihak lawan. Hatinya sudah mahu gelak besar melihat wajah Samihah yang dah jadi kelabu asap. Mesti tak puas hati, iyalah sejak bermula permainan, batu itu belum beralih ke tangan orang lain lagi.

“Wei… sikit-sikit dah la… hang nak kumpul sampai berapa ratus pula!” bentak Samihah tak puas hati. Ainnur menjungkit kening lagak samseng. Amboi, marah benar cik Samihah kita. Kenapa perlu marah sedangkan waktu nak undi giliran, dia setakat dapat dua markah saja.

“Biarlah… aku terror main, bukan macam hang!” balas Ainnur dengan keselambaan tahap maksima. Tidak dihiraukan langsung wajah Samihah yang dah tak serupa orang. Merah berasap. Macam pressure cooker mak aku. Kurangnya tak ada bunyi “psssttt” panjang yang menandakan bahan itu dah masak saja.

“Hang ni nak main ka… nak cari gaduh?” suara Samihah sudah berubah nada. Dari duduk bersimpuh, gadis itu sudah bangun berdiri. Lengan baju kurungnya turut dilipat sekali seolah sudah bersedia hendak memulakan peperangan ala-ala kampung di situ.

Ainnur memandang Samihah atas bawah. Ini apa halnya? Elok orang ajak bermain, tiba-tiba saja kena rasuk jin saja lagaknya. Hendak mencari gaduh pula. Inilah salah satu sebab Ainnur malas nak bercampur dengan budak Samihah ini atau lebih suka dikenali dengan nama yang tak berapa terkenalnya iaitu Samy… sebut betul-betul kawan-kawan… bukan ejaan, sa-mi tetapi tergeliatkan lidah anda sedikit, biar bunyinya sedikit ke-englishan. Bak kata Samihah… oppsss!!! Silap. Bak kata Samy.

“Ni awat yang macam orang terencat ja aku tengok,” Ainnur dalam keadaan begini, mulalah tak mampu mengawal lidahnya daripada mengucapkan ayat-ayat yang dapat memarakkan api kemarahan orang yang sedang marah membara pada dirinya.

“Hang tulah, gila kuasa. Gila publisiti. Gila popular,” tanpa tujuan saja Samihah melontarkan kata-kata. Ainnur menghela nafas panjang. Hai… orang gila, kalau dah nak masuk bulan mengambang, beginilah jadinya. Suka bercakap tak tentu hala. Suka bercakap tak pakai otak. Apa dia ingat telinga aku ni, tong sampah ke? Nak kena dengar semua ayat-ayat dia yang langsung tak bermotivasi lagi berbau basi.

“Hang… kalau setakat nak merepek tak kena gaya, sila… out of my sight!” tegas nada Ainnur dengan jelas menghalau Samihah dari kumpulan kecil mereka yang terbentuk di atas beranda rumahnya.

Samihah yang mendengar potongan ayat bahasa Inggeris itu, terus saja mencebik.

“Perasan anak mat saleh… budak kampung, buat cara kampung… nak ber-english bagai! Huh! Bukannya terrar mana pun… nak berlagak saja lebih!” balas Samihah sambil menjuihkan mulutnya.

Ainnur tersenyum. Sinis sekali. Wajah temannya, Anissa dan Sakinah dikerlingnya. Mereka hanya menjungkitkan bahu. Masing-masing tidak mahu menyampuk kerana tahu, mahunya tersilap sampuk, ada juga yang nanti kena hempuk. Jangan dibuat main dengan Ainnur anak pak cik Azmi ini. Nampak sopan dan santun, tapi… kepedasan mulutnya, boleh buat orang terasa nak terjun lombong.

“Hoi… mangkuk tingkat Samy… anak menakan Samy vellu ka hang ni! Awat… ada hang baca kat mana-mana, forbidden for village people to speak in English! Kalau ada, tunjuk mai kat aku… then I’ll stop… mangkuk! Memang sesuai sangat dengan kain bertingkat yang hang pakai ni… mangkuk tingkat… umuq dah mula meningkat tapi ilmu masih singkat,” tanpa noktah, Ainnur berkata-kata. Anissa dan Sakinah, masing-masing sudah menelan liur sambil menjeling pada Samihah yang sudah berubah kelat. Siapa suruh cari pasal dengan Ainnur.

“Hang kurang ajaq!” marah Samihah. Ainnur menjungkit kening sebelah.

“Hanya tu saja yang hang mampu cakap kat aku… kurang ajar! Hang tu yang kurang ajar, malas nak belajar asyik fikir nak main kejar-kejar sampaikan tak terkejar benda yang sepatutnya,” dengan satu nafas Ainnur berkata. Dirinya sudah berdiri bertentang mata dengan Samihah. Kacau mood saja si mangkuk ini. Baru saja dia nak bermain dengan riangnya dengan kawan-kawan.

Tanpa kata, Ainnur sudah mula mengatur langkah hendak masuk ke dalam rumah. Namun langkahnya terhenti. Seolah teringatkan sesuatu. Dia berpaling.

“Oh ya… kalau saudari Samy kita ada masalah dengan any words yang keluar dari mulut saya, anda boleh terus merujuk pada kamus bergerak saya, Anissa dan Sakinah untuk menyelesaikan sebarang kekusutan minda. Peringatan juga pada saudari Samy, lain kali kalau rasa nak mai buat kacau, nak buat bisnes pulut kacau, tak payah mai mengacau tang sini… rimas aku tengok muka hang yang macam jiwa kacau tu!” dengan jelingan yang mengakhiri kata, Ainnur sudah masuk ke dalam rumah.

Samihah menghentakkan kakinya tanda geram.

“Tau nak menang ja!” bentaknya kuat.

“Hang tu lain kali toksah duk cari pasal dengan orang yang memang akan menang… buat malu ja! Dah la… malas nak layan hang… Jom balik Kinah!” Anissa sudah menarik tangan Sakinah untuk menuruti langkahnya. Permainan dah tamat sebelum waktunya. Semua ini gara-gara mak cik tak cukup akal ini.

MUNCUNG Ainnur sudah sedepa. Puan Masyita tersenyum melihat telatah anak tunggalnya itu. Sejak dari tadi macam cacing kepanasan saja. Ke hulu dan ke hilir. Entah apa yang buat gadis itu panas punggung sangat sampai tak boleh nak duduk setempat.

“Ain… duduklah setempat. Naik rimas mak tengok hang duk ke hulu, ke hilir,” ucap Puan Masyita dengan nada bersenda. Terus saja Ainnur mematikan langkahnya, lantas dia duduk bersila di depan Puan Masyita yang sejak tadi tidak sudah dengan menyiapkan sulaman di hujung baju kurung.

“Mak… betul ke abang Ashraf tak datang?” soal Ainnur dengan serius. Spontan Puan Masyita melepaskan tawanya. Sebab itu ke Ainnur mundar-mandir gaya tak cukup tempat duduk. Fikirkan Ashraf yang takkan balik kampung sekali dengan Puan Mazlin dan Tuan Shahir.

“Kenapa kalau dia tak datang?” soal Puan Masyita pada Ainnur semula. Dilihatnya Ainnur sudah mencuka.

“Kenapa dia tak nak datang? Ain kan dah janji, takkan kacau dia… mak suruhlah Aunty Maz pujuk suruh dia datang… Ain janji, takkan kacau barang-barang dia, Ain janji, takkan kacau dia… mak tolonglah!” rayu Ainnur bersungguh. Kening Puan Masyita bertaut. Pelik benar dia mendengar rayuan Ainnur ini. Beria sangat.

“Kenapa?”

“Mak… janganlah ditanya kenapa. Mak call la Aunty Maz… suruh ajak abang Ashraf sekali,” rayu Ainnur lagi.

Puan Masyita merenung wajah anak daranya yang sudah berusia 14 tahun itu. Wajah yang muncung itu selain mengusik jiwanya untuk terus tertawa namun ada satu perasaan aneh sudah bertandang di hati.

“Ashraf takkan datang Ain…,” ulang Puan Masyita tidak mahu memberi harapan pada Ainnur.

“Mak…,” Ainnur merengek panjang.

“Ala… Mak Ita, orang tu dah rindu sangat kot. Pujuk sajalah Aunty Maz untuk ajak Ash ke sini… kalau tak, ada juga yang terjun kat dalam perigi buta sebelah rumah ni,” tiba-tiba saja sudah ada suara lain yang menyampuk. Wajah sepupu Ainnur, Amir sudah tersengih di pintu rumah.

Pantas saja Ainnur menjegilkan biji matanya. Suka-suka saja si Amir ini mengeluarkan statement bunga-bunga rindunya di depan emak! Nak kena dengan akulah ni! Siap dia. Esok masa balik sekolah, akan ku tolak mu masuk ke dalam sawah Mir. Tekadnya dalam hati.

“Rindu dengan Ashraf… Ain?” Ainnur mengigit bibir. Dihadiahkan jelingan sedas pada Amir yang masih bertenggek di muka pintu rumah mereka sebelum berpaling menghadap wajah Puan Masyita.

“Sepupu Ain juga kan? Tak boleh ke Ain rindukan dia. Mak pun mesti rindukan dia kan? Kan mak… kan?” Ainnur sengaja nak main ayat berpusing-pusing dengan emaknya. Sedangkan, walau dipusing banyak kali pun, pasti saja roda rindu itu berhenti tepat di hidungnya, sebab dialah yang sedang mengalunkan bisikan rindu itu.

“Mak Ita… jangan terpedaya dengan kata-kata pendebat yang pandai berhelah,” Ainnur mengigit bibir, lebih kuat dari tadi! Cis. Tak lesap-lesap lagi si Amir ni.

Puan Masyita hanya tersenyum melihat Ainnur dengan jelingan tajamnya pada Amir. Kedua-duanya nampak saja macam suka cari gaduh, tapi akrab sebenarnya. Amir sebaya dengan Ainnur. Sekolah pun sama. Cuma kelas saja berbeza. Mungkin disebabkan mereka sebaya, maka mereka lebih mesra. Lebih mesra daripada Ainnur dan Ashraf, sepupu yang tinggal di kota Kuala Lumpur. Tetapi, aneh sekali… Ainnur tetap setia mencari-cari kelibat sepupu yang tak suka beramah mesra dengannya. Kenapa?

Puan Masyita terus tersenyum sendiri. Rasanya tak susah hendak meneka, apa yang sedang bermain dalam hati anak gadisnya itu. Kecik-kecik dah pandai menyimpan rasa dalam hati. Hai… tapi kenapa rasa itu disimpan buat yang tak sudi. Hati seorang ibu ini sangat mengetahui, Ashraf sememangnya tidak pernah senang dengan Ainnur. Dimana adanya Ainnur, sudah pastinya di situ dia tidak akan jejakkan kaki. Buktinya, lihat sajalah… sudah berapa tahun Ashraf tidak pernah berkunjung ke kampung walaupun Mazlin dan Shahir sering ke sini.

“Mak… boleh kan? Pujuk Aunty Maz… suruh abang Ashraf datang,” suara Ainnur yang separuh merayu itu singgah lagi dalam pendengarannya. Puan Masyita hanya tersenyum. Itu saja yang termampu daripada memberikan jawapan yang melukakan hati gadis itu.

“AINNUR!!!” laungan nama penuh Ainnur menyentakkan fikirannya yang menerawang jauh. Teringatkan zaman dahulu kala. Zaman Bermuda-mudi. Aik! Sekarang ni dah tua sangat ka cheq Ain oiii…

“Awat mak?” laungnya dari dalam bilik.

“Mai tolong mak sat…,” Ainnur sudah bangkit dari katilnya. Buku karya Randa Abdel-Fattah diletakkan di atas meja belajar. Sudah dua minggu dia menahan hajat hati untuk menghabiskan bacaan buku Does My Head Look Big in This, tapi belum terkejar juga dek kerana sibuk dengan tugasan mengajarnya. Minggu ini, cutii pertengahan sesi pertama sudah bermula, dapatlah dia merehatkan minda di rumah. Dalam masa yang sama hendak mengqadhakan segala benda-benda yang tertinggal. Apa lagi, kalau bukan bahan-bahan bacaan kegemarannya.

“Nak tolong apa mak?” soalnya apabila sudah bersimpuh di depan emaknya. Puan Masyita menarik senyuman manis.

“Tolong kemaskan bilik dekat belakang tu,” kening Ainnur bertaut. Bilik dekat belakang?

“Ada orang nak mai ka mak?” soalnya pelik. Puan Masyita tersenyum lagi.

“Ashraf nak mai…,” terbuntang mata Ainnur yang tidak berapa besar itu. Dia tak salah dengar kan? Tetapi… hatinya tidak segirang dulu. Hatinya tida teruja seperti dulu. Hatinya tidak angau seperti dulu. Semuanya gara-gara sindiran pedas yang diucapkan oleh lelaki itu. Sindiran yang membuatkan Ainnur menyedarkan diri yang selalu tak tersedar kedudukannya.

“Mimpi apa pula mak budak Bandar tu nak jejak masuk dalam kampung kita ni? Nanti mak juga yang susah… sikit-sikit nak complain saja. Mak Ita… rumah tak ada heather ke? Mak Ita… air cond, up kan sikit suhu… Mak Ita… Ash tak nak yang pedas-pedas…,” ajuk Ainnur sambil menyengetkan bibirnya. Menyampah!

“Hai… lain macam bunyinya. Macam orang berjauh hati saja,” Ainnur tersentak.

“Nak jauh hati apanya mak… orang tu langsung tak ada hati kat Ain,” ucap Ainnur pura-pura bersemangat. Sedangkan, jauh di sudut hati… dia langsung tak bersetuju dengan ucapan bibirnya sendiri. Hati kata lain, mulut kata lain. Hati kata masih nak menganyam rasa, mulut kata jangan duk buang masa.

“Eh… tak ada hati apanya… ini datang nak ikat dua hatilah ni!” ucap Puan Masyita teruja. Ainnur menjadi pening. Tak faham! Ikat hati. Ada yang tengah sakit hati ke?

[BERSAMBUNG]


Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997