Novel Kampung Girl hasil karya Umi Kalsom. Jom baca novel Kampung Girl Bab 2 dan 3 di sini. Untuk membaca novel-novel terbaik, sila ke laman web penulisan2u atau dapatkan di kedai-kedai buku berhampiran.
Bab 2
SEAWAL jam enam pagi Ainnur sudah menapak masuk ke dalam tandas. Entah kenapa moodnya pagi ini, terasa seperti terlebih gula saja. Selesai membersihkan diri, dia terus saja ke bilik untuk menunaikan solat Subuh. Usai bersolat, dia sudah terintai-intai ke dalam dapur. Kelihatan emaknya sangat tekun menyediakan bancuhan tepung.
“Hai mak… pagi-pagi dah buka gerai ke?” sapanya dengan usikan sambil menghadiahkan kucupan di pipi Puan Masyita. Rindunya nak bermanja dengan emak.
Seminggu cuti sekolah, seminggu juga dia akan pulun melampiaskan rasa rindu di hati. Iyalah, rumahnya di Yan, Kedah. Kerjanya nun di Pulau Mutiara. Memanglah Kedah dengan Pulau Pinang itu jaraknya setakat dua jam saja, tapi jenuh juga dia nak menadah telinga mendengar bebelan berinti kerisauan dari emak dan abah setiap kali dia drive dari sana. Sudahnya, bila ada hal penting atau cuti panjang saja dia balik ke rumah. Bila emak complain lebih-lebih cakap rindu, dia balas balik cakap siapa yang tak bagi drive balik rumah selalu.
“Manja!”
“Biaqlah orang nak manja… mak orang jugak!” balas Ainnur untuk komen Puan Masyita.
“Memanglah mak orang… takkan mak beruang pulak!” terus Ainnur tersengih lebar. Nak meloyar buruk dengan emak, sekali dia yang kena loyar balik.
“Mak buat apa ni?” soalnya dengan berminat. Kalau tak silap tengok bahan dalam adunan, macam cucur udang. Wah! Ainnur sudah teruja sendiri.
“Ashraf dengan Aunty Maz kan suka cucur udang, tu yang mak nak buat,” mendengarkan nama seorang itu, membuatkan Ainnur terdiam sendiri. Lantas mindanya teringatkan kata-kata emaknya semalam.
“Aunty Maz ada merisik pasal Ain dengan mak,” ucap Puan Masyita bagi menjelaskan kekeliruan agenda ikat hati yang dimaklumkan pada Ainnur sebentar tadi. Ainnur yang sudah elok berbaring di atas peha emaknya, dia saja mendengar butir bicara yang akan disampaikan.
“Untuk Ashraf,” sambung Puan Masyita lagi. Spontan Ainnur tersenyum kecil.
“Takkanlah nak merisik untuk abang Adam pula kan mak… mahunya Kak Pah merajuk tak cakap dengan Ain,” balas Ainnur berjenaka.
“Apa kata Ain?” soal Puan Masyita terus. Tidak mahu memanjangkan cerita. Nanti meleret pula jadinya.
Ainnur diam. Berfikir. Terfikir. Tak habis-habis dengan fikirannya yang asyik teringatkan kata-kata sindiran lelaki itu.
“Dia cakap Ain budak kampung bodoh mak!” luah Ainnur dengan kecewa. Itulah perangai Ashraf yang langsung dia tak suka walaupun hakikatnya, dia terlalu sukakan lelaki itu dari pertama kali dia mengenal erti suka antara lelaki dan perempuan. Mulut si Ashraf yang langsung tidak pernah mengambil kira perasaannya dalam berkata-kata. Suka hati dia saja nak label aku sebagai budak kampung bodoh, sebabnya… dia tak sukakan aku. Kalau iya pun tak suka, tak perlulah nak melabel orang dengan branding bodoh kan! Macam dia tu pandai tahap apa saja. Omel Ainnur dalam hati.
“Ain… benda tu kan dah lama. Patutnya Ain lupa saja. Dia pun tak berniat nak kata macam tu apa dekat anak mak yang cantik ni,” ucap Puan Masyita dengan harapan dapat membeli jiwa Ainnur yang sudah terluka dek kata-kata sindiran Ashraf. Siapa yang takkan terluka lebih-lebih lagi ayat sindiran lahir dari bibir orang yang kita suka.
“Mak cakap pasal cantik… baru Ain teringat mak. Dia kata Ain macam nenek kebayan miang, suka menggatal dengan dia!” ucap Ainnur lagi dengan wajah yang sayu. Nenek kebayan miang! Muka aku ini boleh dikategorikan sebagai miang ke? Memang buta kayu sungguh la si Ashraf tu. Aku yang sangat sopan santun ini disamakan dengan m-i-a-n-g. Bengong!
“Ain…,” tegur Puan Masyita tidak senang. “Tak elok Ain duk ingat macam tu lagi… kan dah lama. Takkan dia tengok Ain sekarang pun, dia nak cakap macam tu jugak. Memang butalah kalau dia kata anak mak yang lawa ni macam nenek kebayan,” puji Puan Masyita dengan senyuman lebarnya.
“Ain lawa apanya mak… anak ayam mak dekat reban tu lagi lawa daripada Ain,”
“Ada ka samakan anak mak dengan anak ayam,” spontan cubitan Puan Masyita mendarat di lengan Ainnur. Dia mengaduh kecil. Pedih rasanya penangan cubitan berbisa daripada emak.
“Mak… sakitlah,” balasnya manja.
“Ini kenapa anak-beranak tengah buat sesi luahan rindu ke?” Encik Azmi yang baru saja pulang dari masjid turut saja bersila sekali untuk mendengar story dari dua orang wanita ini.
“Ita tanya dengan Ain pasal risikan Maz. Abang rasa macam mana?” Puan Masyita bertanya pada Encik Azmi pula. Ainnur belum bagi jawapan pun lagi.
“Abang rasa elok tanya pendapat Ain la,” bagus punya jawapan daripada Encik Azmi. Ainnur perasan wajah emaknya sudah berubah riak. Ditahankan saja tawanya supaya tidak pecah. Mesti emak frust dengan jawapan abah yang terlalu umum dan nyata tidak dapat membantu apa-apa.
“Macam ni Ain… esok Aunty Maz nak datang, nak tanya dengan Ain terus,” Ainnur terus tersentak dan bangun duduk tegak menghadap kedua orang tuanya. Biar betul, nak tanya direct pada dengannya. Matanya terkebil-kebil memandang wajah emak dan abah yang setia merenungnya.
Walaupun dia dengan Aunty Maz agak kamceng juga, tapi kalau dah masuk soal perkahwinan macam ni, rasanya malulah nak cakap terus dengan ibu kepada bakal suaminya. Did you say, bakal suami Ainnur! Ah… gedik hang! Suka cakap suka… jangan nak buat mengada-ngada.
“Ain toksah duk tayang muka comel tak kena gaya dekat sini. Mak sekilas pandang saja boleh tau dah apa yang ada dalam hati Ain tu,” Ainnur menelan liur. Nampak secara terang sangat ke di wajahnya. Memang langsung tak ada skill untuk sembunyikan perasaanlah.
“Tapi mak nak dengar dari mulut Ain sendiri… Ain suka ke tidak kalau jadi menikah dengan Ashraf?” soal Puan Masyita sambil merenung tepat ke dalam anak mata Ainnur yang berwarna hitam pekat itu. Ainnur terkedu. Apa jawapan yang dia boleh bagi?
“Berangan!!!” tolakan di bahu membuatkan dia mengangkat wajahnya. Eh! Sejak bila aku dah duduk dekat meja makan dan emak pula… Ainnur menayang sengihan kelat bila Puan Masyita keluar dari dapur dengan sepinggan cucur udang yang sudah digoreng elok.
“Lamanya dia mengelamun, fikirkan siapalah?” Ainnur tersengih lagi. Fikirkan siapa? Siapa lagi yang Ainnur terasa nak fikir. Tak pernah dia memikirkan tentang orang lain, selain orang itu.
“Mak dah siap goreng? Aunty Maz nak datang pagi-pagi ke?” soal Ainnur pelik. Pagi-pagi nak datang dah, biar betul. Terasa macam Ashraf itu terlebih semangat nak menatap wajahnya di pagi hari ini. Berangan! Ainnur tersenyum sendiri dengan angan-angan buah berangannya.
“Aunty Maz datang petang. Ini untuk Ain… untuk Aunty Maz, sat lagi mak boleh buat,” mata Ainnur terus bersinar-sinar dengan sepinggan cucur udang terhidang di depan mata. Tanpa menunggu lama, dicapainya sepotong cucur udang dan dicicah ke dalam kuah kacang. Selamat sudah kunyahan yang pertama di dalam mulutnya.
“Sampai tak ingat langsung nak pelawa mak kan!” tersedak terus Ainnur dengan teguran itu. Ditepuk-tepuk dadanya sambil meneguk air kosong. Sebaik saja batuknya terhenti, seiring itu senyuman nipis tersungging di bibir.
“Jemput makan mak,” pelawanya sopan. Puan Masyita menggelengkan kepala sambil menapak semula ke dalam dapur.
LAMAN yang penuh dengan daun kering hasil daripada penguguran daun pokok mangga di hadapan rumahnya membuatkan Ainnur terlebih rajin untuk membuat sesi pembersihan laman pada hari ini. Tambahan pula, al-maklumlah, orang jauh nak datang. Orang jauh tu siapa Ain? Soal hatinya sendiri dengan girang. Rasanya dia sudah tahu faktor dia terlebih gula sejak dia mencelikkan mata seawal pagi tadi. Sebabnya, dia akan berjumpa dengan abang Ashrafnya. Teruja sangat sebab akan berlaku juga pertemuan antara mereka setelah sepuluh tahun lamanya.
Kata emaknya, Ashraf makin kacak dan bergaya. Dia tersenyum nipis dengan kenyataan emak. Sudah pastilah Ashraf akan kacak dan bergaya, tengoklah macam mana dia memilih untuk berkawan dengan aku disebabkan tak setanding dengan kecantikan dia. Tapi sekarang, boleh setanding ke?
Pandangan Ainnur dihalakan pada reban ayam Puan Masyita di depan rumah. Anak ayam mak lagi cantik apa! Desisnya sendiri.
“Hoi nenek kebayan miang, tolong jangan menyendeng tepi aku boleh tak!” Ainnur tersentak. Matanya melingas ke arah sekeliling. Tak ada siapa pun! Tapi macam mana boleh muncul suara si Ashraf tu macam real saja. Akibat terlebih berangan, beginilah jadinya. Kutuknya dalam hati.
“Ain tak kacau abang, Ain duduk dekat sini saja,” mata Ainnur tertancap pada beranda yang terletak di bawah pokok mangga itu. Seakan terlihat dengan jelas semua kenangannya di situ.
“Kau kacau ke, tak kacau ke… aku nak kau pergi duduk tempat lain jugak!” marah Ashraf sambil memalingkan badannya membelakangi Ainnur yang sudah elok bersimpuh di tepi Ashraf.
Ah! Kenapalah aku sangat tak tahu malu waktu-waktu remaja dulu. Suka sangat tersua-sua sedangkan dah terang lagi benderang, Ashraf tak suka.
“Abang ni kenapa suka cakap kasar-kasar sangat! Kau, aku… tak boleh ke panggil Ain!” Ainnur tersenyum sendiri sambil melabuhkan punggung di beranda itu. Hari itu merupakan hari yang tidak disangka-sangka. Selamba saja mulutnya menegur gaya bahasa Ashraf yang langsung tidak disukainya. Patutlah tak boleh nak mesra, asyik berkau, beraku saja!
“Kau… jangan cakap banyak!” balas Ashraf dengan telinga yang sudah memerah. Ainnur pandang saja wajah jejaka idamannya yang sudah naik berang. Wajahnya serius, gaya macam orang nak berperang.
“Abang ni kenapa suka marah-marah Ain. Cakap lembut-lembut tak boleh ke? Ain bukannya orang lain… bakal isteri abang juga!” Ainnur sudah melepaskan tawa dengan ucapan yang begitu segar dalam mindanya. Masa itu usianya berapa, dalam empat belas tahun kalau tidak silap. Hahaha! Rasa macam nak gelak guling-guling dengan statement yang memalukan diri sendiri.
Ashraf pada mulanya terpinga-pinga terus saja bangun berdiri sambil menghembuskan dengusan kasar.
“Aku akan cakap ni, buat kali yang terakhirnya. Tolong gam benda ni kuat-kuat dalam kepala otak kau yang lembab ni… aku takkan kahwin dengan budak kampung bodoh macam kau. Jadinya, jangan nak berangan tak tentu hala,” pada usia semuda itu, Ainnur hanya mampu tersentak dengan kata-kata Ashraf. Hatinya sudah terluka. Budak kampung bodoh dia kata! Wei… aku tiap-tiap tahun dapat nombor satu dalam kelas, dia bukannya tahu pun. Mentang la gaya aku sememeh sikit, senang-senang saja dia cakap aku bodoh.
“Ke tepilah! Menyampah aku datang kampung ni nak kena menghadap muka nenek kebayan macam kau… kebayan miang pula tu!” sejurus mengucapkan kata-kata itu Ashraf sudah menapak masuk ke dalam rumah.
Jemarinya Ainnur dilarikan ke atas beranda yang didudukinya itu. Seakan terasa kehadiran lelaki itu disampingnya. Kenapa ya, walaupun Ashraf cakap dia, budak kampung bodoh. Walaupun Ashraf cakap dia nenek kebayan miang. Walaupun semua tentang dirinya Ashraf tidak suka langsung, tetapi dia dengan senangnya jatuh suka dengan lelaki yang berlagak itu.
Hati dah suka, nak buat macam mana. Cumanya, dia terasa hairan… mahu pula Ashraf berkahwin dengannya. Sebab apa? Tak mungkinlah dia sukakan aku. Mahunya ribut taufan satu Malaysia. Tidak pun, dia kena paksa dengan Aunty Maz? Part ni, ada logiknya juga. Tak apa, tunggu dia datang dan aku bersemuka dengan dia untuk meleraikan segala kekusutan.
Sebut pasal bersemuka, emak beritahunya ada kirimkan gambar pada si mangkuk Ashraf itu. Agak-agaknya dia tengok tak rupa ‘nenek kebayan’ dia yang terkini? Agak-agaknya lelaki itu dah menarik semula ke statement, nenek kebayan miang itu daripada label dirinya?
“Ain… berangan tak sudah lagi ke?” teguran Puan Masyita membuatkan Ainnur mengangkat wajahnya. Senyuman sudah terukir di bibir. Hanya di sini saja Ain dapat berangan mak. Tempat-tempat yang ada kenangan Ain dengan dia. Walaupun semuanya bukan kenangan manis belaka tetapi ia tetap istimewa buat dirinya. Bisiknya dalam hati.
Baru saja Ainnur menyarungkan selipar hendak melangkah masuk ke dalam rumah, telinganya sudah menangkap bunyi geseran tayar kereta. Pantas dia berpaling. Honda CRV berwarna Chrome sudah memasuki perkarangan rumah mereka. Senyuman di bibir makin lebar. Tidak lupa juga, hatinya bertambah berdebar.
_______________________
Bab 3
KAKINYA menggeletar saat melangkah masuk ke dalam banglo tiga tingkat itu. Wajah Puan Mazlin yang sedari tadi tersenyum melihatnya langsung tidak membantu untuk meredakan gemuruh dalam dada. Dikerlingnya ke seluruh pelosok banglo itu. Mak aih! Janggalnya bila dapat rasa aura Ashraf itu di dalam rumah ini. Sepuluh tahun, bukan sekejap… tapi sudah lama mereka tidak bersua.
Tiba-tiba saja Ainnur merasakan dia tidak patut datang ke sini. Boleh tak kalau aku nak balik Kedah sekarang juga? Wajah Puan Mazlin dipandang. Liurnya ditelan berkali-kali. Gemuruh di dada sudah makin hebat. Menunggu masa saja untuk meletup.
“Ain rasa macam nak balik rumah sajalah Aunty,” ucap Ainnur dengan perlahan. Wajah Puan Mazlin nyata terkejut.
“Eh, kenapa nak balik? Aunty ajak Ain datang sini bukan nak suruh balik… nak suruh kenal-kenal dengan si Ashraf tu. Biar terbuka luas-luas mata dia… tengok bakal menantu Aunty yang sorang ni,” Ainnur tersenyum nipis melihat semangat Puan Mazlin untuk ‘mengajar’ anak terunanya itu.
Semua ini gara-gara emak terbuka cerita pasal budak kampung bodoh dan nenek kebayan miang. Tak tersangka, terluah kata-kata itu dari bibir emak tanpa dapat ditahan. Aunty Maz disangkanya akan terdiam, terkedu mungkin. Tetapi, jauh sungguh dari perkiraannya. Aunty Maz mengamuk sakan sambil memarahi anaknya, siapa lagi, Ashraflah. Cumanya, bukan marah secara bersemuka sebab Ashraf tak ikut pun mereka balik ke kampung atas alasan ada perjumpaan dengan klien. Ainnur tersenyum menahan pedih, perjumpaan dengan klien ke atau memang sudah tak sudi hendak menatap wajah aku.
“Ada ke patut, bakal menantu Aunty ni dikatanya nenek kebayan. Memang nak kena dah budak seekor tu!” ucap Puan Mazlin tanpa sebarang penapisan. Ainnur menekup mulutnya daripada terlepas tawa. Nasib engkaulah Ashraf, mummy kau dah naik marah.
“Sekarang ni, Ain tak payah risau fikirkan mamat cekodok tu,” sambung Puan Mazlin lagi. Ainnur tak mampu hendak menahan perutnya yang sudah sakit yang amat. Akhirnya terhambur juga tawanya yang ditahan-tahan sejak tadi. Mamat cekodok! Aduhai… kenapa bakal mak mentua aku sempoi sangat. Memang betul dia dengan Aunty Maz boleh jadi geng sampai bila-bila.
“Aunty… kenapa cekodok? Tak padan la dengan Abang Ashraf yang handsome tu,” ucap Ainnur yang masih dengan tawanya.
“Dia cakap dekat bakal menantu Aunty nenek kebayan.. tak apa pula. Sikit punya lawa macam ni, dikatanya nenek kebayan. Aunty nak tunggu saja biji mata dia terbuntang tengok muka Ainnur nanti,” Ainnur tersenyum kecil mendengar azam Puan Mazlin. Dia pun tak sabar nak tengok reaksi Ashraf bila bersua dengannya nanti.
“Dah… sekarang ni, Ain pergi naik dulu, rehat-rehat,” Ainnur mengangguk. Menurut saja. Beg bajunya sudah diangkat.
“Bibik…,” laung Puan Mazlin kuat. Muncul wajah seorang wanita yang berpakaian serba biru.
“Kenalkan ini Ainnur, bakal menantu saya. Ain… yang ni bibik Rianti,” Ainnur dan bibik berbalas senyuman.
“Bibik tunjukkan bilik pada Cik Ain ya. Ain rehat dulu nanti petang sikit, kita sembang-sembang,” ucap Puan Mazlin dengan senyuman manisnya. Dia kemudiannya sudah mula mengorak langkah setelah mengarahkan bibik untuk menjadi pandu arah pada Ainnur di dalam rumah yang sudah lama tidak dijejakkan kakinya.
“Mari cik,” bibik Rianti sudah mula mencapai beg dari pegangan Ainnur.
“Eh… tak apa. Saya bawa sendiri. Bibik tunjukkan bilik di mana saja pun dah cukup”.
Akhirnya, Ainnur dibawa melangkah ke tingkat dua rumah tiga tingkat itu. Dua buah bilik yang bertentangan di situ. Pintu yang disebelah kirinya dibukakan.
“Ini biliknya cik”.
“Terima kasih ya bik”.
“Kalau mahukan apa-apa, panggil aja bibik ya,” Ainnur mengangguk dengan senyuman di wajah. Bibik sudah kembali dengan tugasannya. Ainnur berpusing-pusing dalam bilik yang luas itu. Matanya sudah melilau mencari kipas angin. Seketika kemudian dia sudah terlopong. Wei! Bilik tak ada kipas… yang adanya, air cond semata. Mati kesejukan aku kalau macam ini gayanya. Patutlah si Ashraf tu tak tahan panas setiap kali ke kampung, diasuh dalam suhu dingin beku. Sekali dengan hati dia pun terbeku sama.
Setelah menghidupkan air cond pada suhu 26 darjah, Ainnur terus mengorak langkah ke katil. Hendak melelapkan matanya yang sudah memberat sejak dari dalam kereta lagi. Namun ditahankan saja, sebabnya, segan dengan Aunty Maz dengan Uncle Shahir. Sekarang ini, dia ingin membuta dahulu sebelum berbuat sebarang kerja lain.
Tidak perlu menunggu lama, sebaik saja kepalanya mendarat di atas bantal, matanya terus terkatup tanpa dapat ditahan lagi.
SIANG sudah berlabuh, malam pula sudah mengangkat tirainya. Seusai menunaikan solat maghrib, Ainnur sudah mula mengatur langkah hendak turun ke bawah. Sekejap tadi bibik sudah datang menjemputnya untuk ke bawah. Ainnur tersenyum sendiri. Tiba-tiba saja rasa macam anak raja. Hendak turun makan pun nak kena jemput sampai ke depan pintu bilik, amboi la kata! Kalau macam inilah gaya di rumah, memang seratus peratus, aku akan transform jadi anak dara paling pemalas.
Dengan mengenakan sepasang baju kurung cotton dan kain batik, Ainnur nyata berpuas hati dengan penampilan kegemarannya itu. Tudung bawal hitam yang tersidai di atas katil, dicapai dan disarungkan pada kepala. Tanpa menunggu lama, dia sudah mengatur langkah untuk turun ke bawah. Keadaan dalam rumah ini, sunyi saja. Kalau di kampung lain suasananya. Kalau pun sunyi dengan suara manusia, ada juga suara ayam dan itik nak menggamatkan keadaan.
Sampai saja di tingkat bawah, Aunty Maz dan Uncle Shahir sudah siap-siap menunggunya di meja makan.
“Sorry… Ain lambat turun,” ucapnya sopan. Datang rumah orang, kena pandai jaga hati tuan rumah. Iyakan?
“Tak ada apalah Ain. Buat macam rumah sendiri… make yourself comfortable okay. Ini pun bakal jadi rumah Ain jugak tak lama lagi,” ucap Tuan Shahir dengan senyuman yang menyenangkan.
“Okay uncle,” Ainnur sudah pun melabuhkan punggung di kerusi bertentang dengan Puan Mazlin.
“Ain sekarang posting di mana ya?” soalan mengiringi sesi makan malam mereka pada hari ini.
“SMKBJ, Penang,”
“Nanti dah kahwin, boleh minta tukar tak?” terus tersedak Ainnur dengan soalan itu. Terkejut.
“Abang ni… bagilah budak tu makan dulu, sampai tersedak dah dia,” balas Puan Mazlin bagi pihak Ainnur.
“InsyaAllah, boleh dapat with a strong reason. Marriage will be a fine reason,” Tuan Shahir mengangguk-angguk. Sudah lama tidak berjumpa dengan Ainnur rasa seperti ketinggalan banyak sangat info tentang kehidupan gadis itu.
“Ain dua tahun dekat oversea, twinning programme dari sini ke?”
“Ain kan buat program persediaan di IPG, under IPG programme untuk lepasan SPM. Dari sana Ain dapat sambung degree di oversea. Two years saja uncle… Ain rasa tak puas,”
“University?”
“Victoria, Welly,”
“Tengok tu abang… Ain susah-susah pergi belajar di oversea, anak abang yang macam cokodok basi tu senang saja cakap dekat dia budak kampung bodoh,” rungut Puan Mazlin yang menyampuk tiba-tiba.
“Ashraf tu… mana pernah nak ambil tahu pasal perkembangan orang lain, yang dia tahu diri dia saja… Ain jangan ambil hati ya,” balas Tuan Shahir untuk meredakan rasa tidak puas hati isterinya. Dilihatnya Ainnur tersenyum saja, isterinya pula yang melebih-lebih tak kena gaya. Tapi, dalam hatinya sendiri, rasa memang tidak patutlah Ashraf cakap macam itu. Bukan ke biadab namanya menggelarkan seseorang itu bodoh. Sungguh tidak beradab anaknya yang seorang itu.
“Macam hidup dalam hutan saja!” sungut Puan Mazlin lagi tidak puas hati. Satu hal tentang sepupu sendiri pun tidak mahu diambil tahu. Nasib sajalah anak sulungnya, Adam peramah terlebih kalau tidak, mahunya anak-anak di cop dengan label sombong tak kena gaya.
“Salah kita juga Maz… kita dah tau perangai dia macam tu, kita tak pernah nak tegur dulu-dulu… sebab tulah sekarang hidup dia macam ni. Asyik, kerja saja. Dunia kawan-kawan entah ke mana, kurang bersosial dengan masyarakat. Hal saudara-mara pun tak nak ambil tahu,” ucap Tuan Shahir yang nyata tidak senang dengan perilaku Ashraf.
Ainnur yang diam dan pura-pura menumpukan perhatian kepada makanan, sebenarnya tidak! Dalam diam, dia mula menganalisis setiap minus point Ashraf a.k.a si cokodok basi itu bak kata Aunty Maz. Sesuai ke tidak hendak dijadikan suami? Tiba-tiba saja dia meragui keputusan yang telah diberi. Mungkin ini yang selalu dikatakan oleh pepatah, terlajak perahu boleh undur. Terlajak kata, mana ada gear untuk reverse dah! Nasib engkaulah Ainnur dah setuju memperjudikan nasib untuk hidup dengan manusia seperti Ashraf Khairi.
ENJIN Toyota Rush berwarna putih itu dimatikan. Saat kaki melangkah ke pintu rumah, dahinya seakan berkerut. Dia baru perasan, kereta Honda CRV milik daddy elok terparkir di garaj. Takkan dah selesai agenda di negeri Utara yang mereka cintai itu. Tanpa berlengah, Ashraf terus masuk ke dalam rumah.
Keadaan rumah yang terang-benderang itu mengalirkan rasa pelik di hati. Dikerling pada jam di pergelangan tangan. Jarum jam sudah menginjak ke angka dua belas. Takkan masing-masing belum tidur lagi. Mindanya penuh dengan tanda tanya.
Dari ruang tamu, kakinya mula melangkah ke ruang makan. Kosong! Haruslah kosong… sudah pukul dua belas malam, siapa yang nak makan tengah-tengah malam buta ini. Engkau ni Ashraf, pangkat saja besar tapi kadang-kadang membuatkan diri sendiri meragui, sesuai ke pangkat itu dengan kepintaran otaknya yang tak berapa nak pintar ini.
Sedang dia mengatur langkah menaiki anak tangga, telinganya seperti menangkap bunyi ketawa riang dari ruang TV di tingkat pertama. Tetapi dia tidak pula tergerak hati untuk ke situ kerana badan pun sudah letih, katil pun rasanya sudah memanggil-manggil. Lebih baik dia masuk tidur saja dulu sebelum ada yang jatuh tersembam lantai marmar ini.
Tombol pintu bilik dipulas. Baru saja dia hendak menutup pintu terdengar tombol bilik yang bertentang dengannya dipulas dari dalam. Hatinya mula terasa tidak enak. Rasanya, bilik itu sudah lama kosong. Rumah daddy ni, ada kemungkinan spesies Han datang bertandang tak? Hatinya makin digaru resah, tetapi dalam masa yang sama, kaki pula tidak mahu melangkah ke dalam bilik.
Telinganya jelas menangkap tombol sudah mula dibuka dari dalam. Dia bertambah cuak.
“Mummy!!!” jeritan lantang dilepaskan oleh Ashraf apabila wajah putih muncul di depannya. Entah apa yang terjadi selepas itu, dia sudah tidak sedarkan diri.
[Bersambung ]