Setiap tahun, berpuluh penumpang keretapi di Indonesia mati kerana terjatuh daripada bumbung kereta api atau terkena kejutan elektrik daripada wayar tiang elektrik. Ini menyebabkan pihak berkuasa ‘pening kepala’ memikirkan bagaimana hendak menghalang para penumpang daripada duduk di atas bumbung kenderaan itu.
Pelbagai kempen dan kesedaran dibuat namun nampaknya ia dipandang enteng.
Akhirnya mereka memilih satu kaedah yang agak kelakar bunyinya…guna penyapu busuk!
Penyapu itu digantung beberapa sentimeter di atas bumbung gerabak ketika kereta api masuk dan keluar dari stesennya atau di persimpangan-persimpangan.
Menurut agensi berita AP, jurucakap PT Kereta Api Indonesia, Ahmad Sujadi berkata:
” Bagi mereka yang masih duduk di atas bumbung, mereka akan rasa seperti dipukul dengan kuat.”
Penyapu itu diletakkan di beberapa lintasan yang menghubungkan Jakarta dengan bandar Bogor, di Jawa Barat, kelmarin.
Sujadi, bagaimanapun, tidak mahu mendedahkan apa ramuan yang digunakan bagi menghasilkan cecair berbau busuk itu.
”Ada orang yang kata tindakan ini tidak berperikemanusiaan, tetapi tidak apa. Ini kerana tindakan membenarkan mereka duduk di atas bumbung kereta api lagi tidak berperikemanusiaan,” kata beliau.
Nampaknya penggunaan penyapu semakin menjadi pilihan sebagai kaedah penyelesaian sesuatu masalah.
Bila mengenangkan nasib penumpang keretapi di Indonesia, rasa bertuahnya tinggal di Malaysia kan.