Israel sekali lagi menuduh Malaysia menjadi lokasi latihan bagi anggota Hamas di Palestin.
Agensi keselamatan Israel, Shin Bet dilaporkan mendakwa Hamas melatih pelajar Palestin dari Tebing Barat yang melanjutkan pelajaran di Malaysia untuk menjalankan operasi bagi sayap ketenteraan parti politik Palestin itu.
Menurut laporan akhbar harian tertua di Israel Haaretz semalam, Shin Bet memaklumkan pelajar yang dilatih di Malaysia akan digunakan untuk operasi intipan sebaik pulang ke Tebing Barat.
Ini adalah kali kedua Isreal secara terbuka mengaitkan Malaysia sebagai lokasi latihan bagi anggota Hamas.
Tahun lalu akhbar Israel menyiarkan maklumat soal siasat Shin Bet bersama seorang anggota Hamas di Gaza yang didakwa dilatih teknik luncur layar di Malaysia untuk menyusup ke dalam kawasan Israel bagi melakukan pembunuhan dan penculikan.
Dakwaan terbaru itu dibuat di dalam kertas tuduhan yang difailkan pada 18 Mac lalu di Mahkamah Tentera Judea, Israel terhadap seorang penduduk di Hebron, Tebing Barat iaitu Waseem Qawasmeh berusia 24 tahun.
Waseem didakwa Israel atas tuduhan menyertai dan aktif dalam petubuhan yang diharamkan, mengadakan hubungan dengan musuh, dan menerima wang daripada musuh.
Dia ditahan pada 13 Februari lalu di Jambatan Alleby iaitu laluan sempadan Jordan-Tebing Barat selepas pulang dari Malaysia.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang dihubungi hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu.
Katanya, kalaupun ada rakyat Palestin yang datang belajar di universiti tempatan, mereka datang sebagai pelajar warga Palestin untuk mengikuti pengajian biasa yang ditawarkan oleh mana-mana universiti di dunia.
Beliau turut mengesahkan tiada mana-mana individu atau kumpulan yang memberi apa-apa bentuk latihan ketenteraan kepada anggota Hamas atau penuntut Palestin di Malaysia.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Negeri turut menafikan dakwaan itu.