Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini atas pertuduhan menghantar komen menghina pemimpin negara di laman sosial Facebook (FB).
Tertuduh, Syarul Ema Rena Abu Samah, 35, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah.
Wanita terbabit yang menggunakan nama ‘Ratu Naga’ di FB didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta yang sama.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 6 Oktober tahun lalu, pada 12.01 tengah malam dan secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Hakim Aizatul Akman Maharani membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan dua penjamin.
Kes itu akan disebut semula pada 22 Mac bagi peguam bela hadir serta serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Faizah Mohd Salleh dan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) Norhani Mohd Azhar.