Quantcast
Channel: Wowberita
Viewing all 4997 articles
Browse latest View live

Biodata Mohamed Shaiful Nizam Ismail Suami Marsha Milan

$
0
0

Biodata Mohamed Shaiful Nizam Datuk Seri Mohamed Ismail Suami Marsha Milan Londoh. Tahniah diucapkan kepada Marsha Milan kerana telah selamat diijabkabul dengan seorang ahli perniagaan pada Khamis, 31 Disember 2015. Terdahulu, Marsha telah pun memeluk agama Islam pada awal Disember 2015. Marsha menerima mas kahwin berjumlah RM1,001 daripada Mohamed Shaiful Nizam manakala jumlah wang hantaran dirahsiakan jumlahnya. Pihak lelaki memberi tujuh dulang hantaran manakala pihak perempuan membalas sembilan dulang hantaran.

Biodata Mohamed Shaiful Nizam Suami Marsha Milan

Nama Penuh: Mohamed Shaiful Nizam Datuk Seri Mohamed Ismail
Umur: 35 Tahun
Pekerjaan: Ahli Perniagaan
Asal: Pulau Pinang
Tempoh Perkenalan: 10 Tahun
Tarikh Pertunangan: 14 Disember 2015
Tarikh Perkahwinan: 31 Disember 2015


FBI Siasat Kaitan Filem The Wolf of Wall Street Dengan 1MDB

$
0
0

Badan penyiasat Amerika Syarikat, Biro Siasatan Persekutuan (FBI), kini sedang menyiasat produksi filem ‘The Wolf of Wall Street’, seperti dilaporkan oleh The Wall Street Journal (WSJ).

Filem lakonan Leonardo Dicaprio itu diterbitkan pada tahun 2013, dan mengisahkan tentang kisah benar kehidupan Jordan Belfort, seorang broker saham yang terbabit dalam rasuah dan penipuan di Wall Street.

Filem itu mendapat pujian pengkritik filem dan mendapat lima pencalonan dalam Anugerah Akademi ke 86.

Menggunakan banyak props mewah (termasuk binatang seperti cimpanzi dan singa), filem itu menelan belanja lebih AS$100 juta (RM430 juta).

Dana kewangan untuk filem itu datang daripada Red Granite Pictures, sebuah syarikat produksi yang diasaskan bersama oleh Riza Aziz, anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

FBI kini sedang menyiasat kaitan antara filem itu dengan kewangan peribadi Najib dan kontroversi yang melibatkan syarikat pelaburan negara, 1MDB.

WSJ turut melaporkan kredit filem itu ada menyenaraikan Jho Low di bawah ‘special thanks’, dan mendedahkan Joh Low dan Riza pernah berhubung ketika belajar di London.

Red Granite Pictures memaklumkan kepada WSJ yang Riza mahupun syarikat itu tidak terlibat dalam aktiviti perniagaan “tidak sepatutnya”.

Selain The Wolf of Wall Street, syarikat itu telah menghasilkan Horns (2014), Dumb and Dumber To (2014) dan Daddy’s Home (2015).

Ahmad Maslan Kongsi ‘Formula PKPK’ Untuk Rakyat Tambah Pendapatan

$
0
0

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan hari ini menyampaikan beberapa petua untuk menambah pendapatan bagi menghadapi tahun 2016.

Melalui akaun Twitter, beliau menggunakan hashtag #TambahPendapatan untuk berkongsi petua tersebut.

Melalui akronim ‘PKPK’ iaitu Pendidikan, Kemahiran, Produktiviti, dan Keusahawanan, Ahmad menyeru rakyat agar memulakan usaha menambah pendapatan dalam jangka masa panjang dan pendek.

Beliau turut mengingatkan para pekerja awam dan swasta yang ingin terlibat dengan perniagaan atas talian agar mematuhi peraturan sedia ada.

Ketua Penerangan UMNO itu turut berpesan agar rakyat mencari rezeki yang halal.

Melalui hashtag itu, Ahmad turut berkongsi bahawa beliau tahu menoreh getah kerana ibu bapa beliau juga merupakan penoreh.

Kelibat ‘Kembar’ KPN Jadi Pekerja Restoran Nasi Ayam Jadi Viral

$
0
0

Wajah seorang pekerja restoran warga Bangladesh menjadi viral di laman sosial selepas dikatakan mirip Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Md Raton Choukidar, 37, mula popular selepas seorang pelanggan Restoran Nasi Ayam Pak Mal tempatnya bekerja di Seksyen 10 di sini, memuat naik gambarnya di Facebook.

Md Raton berkata, dia pada mulanya tidak mengenali siapa Khalid walaupun sering menjadi sebutan pelanggan, hinggalah ada anggota polis yang berkunjung ke restoran bergambar dengannya.

“Apabila ada polis yang ingin bergambar dengan saya, selepas itu baru saya sedar wajah saya mirip dengan orang penting di Malaysia.

“Apabila melihat gambarnya (Khalid) di televisyen atau surat khabar, saya mula bandingkan sama ada kami ada wajah seiras atau tidak,” katanya sambil tersenyum ketika ditemui BH di sini, hari ini.

Md Raton berkata, dia tetap melayan permintaan orang ramai, terutama pelanggan restoran untuk bergambar, walaupun kadang-kala kurang selesa apabila dikaitkan dengan tokoh penting negara itu.

“Setiap kali orang memberitahu wajah kami hampir serupa, saya hanya mampu tersenyum kerana pada pandangan saya, kami tidak ada sebarang persamaan.

“Namun begitu, saya akan tetap melayan permintaan orang ramai terutama pelanggan di restoran kerana apabila mereka gembira, saya juga turut gembira,” katanya.

Epik! Darth Vader, Storm Trooper Sambut Murid SK Kubang Kerian 3

$
0
0

Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 3 menampilkan kelainan apabila membawa dua watak dalam filem bersiri Star Wars pada hari pertama persekolahan dibuka hari ini.

Dua watak berkenaan, Darth Vader yang berpakaian hitam dan Stormtroopers, berpakaian putih, nyata menarik perhatian 1,360 murid, terutama 252 murid Tahun Satu yang mula melaporkan diri ke sekolah hari ini.

Guru Besar SK Kubang Kerian 3 Seri Dewi Mohd Ibrahim berkata idea untuk membawa dua watak Star Wars itu timbul ketika pihak sekolah mengadakan satu mesyuarat di sebuah hotel di sini.

“Ketika itu, hotel berkenaan mengadakan satu majlis meraikan pelanggan mereka dan membawa pelbagai watak animasi ke hotel berkenaan.

“Pengurusan sekolah mendapati idea berkenaan sangat baik dan kami memutuskan membawa dua watak Star Wars pada hari pertama persekolahan kerana ia mempunyai nilai pembelajaran berteraskan sains pada abad ke-21,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Terdahulu, sekolah berprestasi tinggi berkenaan menerima kunjungan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan Datuk Ab Aziz Abdullah.

Seri Dewi berkata sekolah berkenaan menerapkan prinsip belajar sambil berhibur bagi memudahkan murid lebih memahami setiap subjek yang diajar guru.
“Pilihan watak berpakaian hitam dan putih juga menerapkan nilai murni kepada murid,” katanya.

Filem bersiri Star Wars mengisahkan perjuangan menentang kejahatan dengan siri terbaharu ‘Force Awakens’ ditayangkan di pawagam pada 17 Dis lepas.

Jangan Hukum Najib Kerana Dosa Pemimpin Terdahulu – Fathul Bari

$
0
0

Exco Pemuda Umno, Dr. Fathul Bari Mat Jahaya menyifatkan tindakan berterusan pihak tertentu menggunakan sejarah kerjasama Umno dan Pas terdahulu untuk menghukum kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai tidak tepat.

Beliau berkata, sekalipun tidak bersetuju dengan kerjasama itu, segelintir pemimpin Pas tidak sewajarnya menghalang usaha ke arah kebaikan itu demi kepentingan umat Islam di negara ini.

“Adakah yang memimpin hari ini terlibat dalam peristiwa satu ketika dahulu dengan Pas? Mereka ini tidak konsisten, kalau tak setuju juga, (kenapa) nak menghukum semua (kepimpinan Najib) dengan sejarah terdahulu, walaupun kita ambil iktibar dengan sejarah itu?

“Kecenderungan sebahagian orang untuk menghukum Umno kerana kes terdahulu, tetapi (dalam masa sama) mereka menjemput dan mempromosikan kerjasama dengan DAP, (kemudian) nak melupakan sejarah dengan DAP,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dalam posting terbaharu di akaun Facebooknya semalam melahirkan kebimbangan kerana hubungan baik antara Umno dan Pas didakwa akan memberi kesan kepada nasib orang Melayu pada masa akan datang.

Mengulas lanjut, Fathul Bari juga berkata dakwaan mengatakan kerjasama itu bakal mendatangkan bencana kepada orang Melayu hanyalah kerana ia dilihat dari perspektif dan bermotifkan politik semata-mata.

“Saya minta umat Islam melihat kerjasama ini atas kepentingan agama, sebab itu kita kena melangkaui politik.

“Imam Masjid An-Nabawi ke Malaysia (Al-Syeikh Dr Abdul Muhsin Muhammad Al-Qasim) mengingatkan kita jangan menghukum saudara kita (kerana) kesalahan (sebelum itu), seolah-olah dia tak beri hak untuk mempertahan dan membela diri serta hak untuk berbaik dengan kita (Umno),” jelasnya.

Fathul Bari berkata lagi, hubungan Umno dan Pas yang semakin baik itu memberikan kebaikan begitu besar bukan sahaja kepada orang Melayu, bahkan memberikan rahmat kepada semua bangsa kerana inisiatif itu berasaskan Islam.

“(Walaupun) berasaskan Islam dan Melayu, tapi kita tak mengetepikan hak dan kepentingan bangsa lain kerana kedua-dua parti ini juga ada membuka (penyertaan) kepada bangsa dan agama lain.

“Jadi saya tak nampak perkara tidak baik bakal berlaku kepada rakyat negara ini, melainkan mereka hanya melihat dari perspektif kepentingan politik,” katanya lagi.

Perkongsian Foto Cikgu ‘Cun’ Jadi Fenomena Di Hari Pertama Persekolahan

$
0
0

Ramai berpendapat bahawa pelajar zaman sekarang amat beruntung memandangkan statistik menunjukkan guru-guru yang mengajar di sekolah kini jauh lebih cantik dan muda jika dibandingkan dengan guru-guru zaman dahulu.

Penyebaran gambar cikgu ‘cun’ menjadi lebih mudah dengan bantuan laman sosial sehingga ia mampu diviralkan dalam satu jangka masa yang singkat. Sebenarnya guru-guru dahulu pun cantik juga cuma mungkin mereka tidak pandai bergaya sebagaimana guru-guru sekarang.

Walaubagaimana pun, ibubapa tetap mengharapkan agar guru-guru anak mereka berkualiti bagi memastikan anak-anak mereka memperolehi ilmu pengetahuan secukupnya bagi menghadapi persaingan yang semakin sengit di luar sana.

Antara guru-guru yang viral di laman sosial:

Punca Sebenar Bayi 4 Bulan Meninggal Dunia Di Taska

$
0
0

Seorang bayi berusia empat bulan meninggal dunia ketika ketika bawah jagaan sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Gelugor pagi ini.

Nur Ariana Safiyyah dikatakan mengalami sesak nafas ketika pengasuhnya mahu menukar pakaiannya.

Bapa mangsa, Mohammad Shauqi Zainondin, 26, berkata, anak sulungnya itu baharu kali ketiga dihantar ke situ awal pagi tadi selepas isterinya habis cuti bersalin.

Beliau yang dimaklumkan isterinya, Nur Farhana Ros Nazri, 26, mengenai perkara itu kira-kira jam 8.30 pagi terus bergegas ke taska berkenaan namun ketika tiba dimaklumkan anaknya sudah dibawa ke klinik berhampiran.

“Ketika sampai, mereka (pengasuh) memaklumkan anak saya sudah lembik dan sesak nafas lalu terus membawanya ke klinik bagi pemeriksaan.

“Sebaik tiba di klinik, doktor memaklumkan anak saya sudah tiada,” katanya ketika ditemui media di pekarangan pusat forensik Hospital Pulau Pinang di sini hari ini.

Menurutnya, lebih menyedikan apabila beliau melihat terdapat darah kering pada hidung anaknya selain tompokan darah di baju.

Tidak berpuas hati dan mahu kebenaran, Mohammad Shauqi membuat laporan polis dan minta kejadian itu disiasat.

Beliau kesal kerana cubaannya mendapat penjelasan mengenai kejadian itu dengan menghubungi pemilik taska terbabit namun panggilannya tidak dijawab.

“Memang saya reda dengan pemergian bayi kami namun sebagai bapa saya juga mahu keadilan sewajarnya,” katanya.

Difahamkan, jenazah Nur Ariana Safiyyah akan dikebumikan malam ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Kau, Guar Chempedak, Kedah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati bayi itu meninggal disebabkan radang paru-paru dan tiada unsur jenayah dikesan.


Pelabuhan Kuantan Nafi Jadi Punca Laut Bertukar Merah

$
0
0

Kuantan Port Consortium Sdn Bhd (KPC) menafikan fenomena ‘laut merah’ di Pantai Batu Balok dan Pantai Batu Hitam pada minggu lalu, berpunca daripada sisa bauksit dari tapak simpanan (stockpile) mineral itu di Pelabuhan Kuantan.

Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Khasbullah A Kadir berkata, ini kerana sisa bauksit di pelabuhan itu akan melalui beberapa siri sistem tapisan sebelum dilepaskan ke Sungai Pengorak.

Pada masa sama, katanya, Sungai Pengorak tidak bercantum dengan Sungai Balok dan Sungai Tunggak, dua sungai yang terletak berhampiran Pantai Balok dan Pantai Batu Hitam.

“Malah, lokasi Sungai Pengorak adalah jauh dari kedua-dua pantai berkenaan.

“Sehubungan itu, laporan yang mengaitkan fenomena laut merah dengan sisa bauksit di Pelabuhan Kuantan tidak tepat dan mengelirukan,” katanya, semalam.

Beliau mengulas dakwaan bahawa ‘stockpile’ di Pelabuhan Kuantan menjadi punca kepada fenomena laut merah di Pantai Batu Balok dan Pantai Batu Hitam pada 29 Disember lalu.

Khasbullah berkata, KPC sebagai operator Pelabuhan Kuantan sudah mengambil pelbagai langkah bagi menangani masalah pencemaran sisa bauksit di pelabuhan itu.

Katanya, ini termasuk memastikan setiap kawasan stockpile memiliki ‘longkang perimeter’ supaya sisa bauksit tidak mengalir ke longkang utama dan terus ke laut.

“Sebaliknya, sisa bauksit ini disalurkan ke kolam pengumpulan sebelum melalui beberapa siri tapisan dan dari sini, air yang sudah ditapis akan memasuki Sungai Pengorak dan seterusnya ke laut,” katanya.

‘Mereka Cuma Bergurau Dengan Saya, Tolong Padamkan Video Itu’

$
0
0

Sebuah rakaman video yang memaparkan seorang wanita tua dipukul oleh beberapa orang gadis menjadi semakin viral di media sosial, sejak semalam.

Dalam video berdurasi 47 saat itu, wanita tua India itu dilihat sedang dibuli serta dipukul oleh gadis-gadis tersebut di kediaman mereka.

Malah, beberapa kata kesat dalam bahasa Tamil juga digunakan oleh pembuli dalam rakaman tersebut.

Susulan itu, rata-rata netizen di media sosial mendesak pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap gadis-gadis berkenaan.

Penderaan yang kejam terhadap warga emas.Mohon Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police ) siasat dan ambil tindakan sewajarnya

Posted by Wowberita (Official) on Sunday, January 3, 2016

Memetik laporan portal Malaysiakini, pihak polis berkata mereka difahamkan bahawa perkara itu dilakukan sebagai satu ‘gurauan’.

Menurut Ketua Polis Daerah Cheras Chong Kok Sin, semasa siasatan awal, mangsa menyatakan bahawa kejadian yang dirakamkan itu merupakan satu gurauan.

“Mereka merupakan rakan-rakan serumah dengan saya dan begitulah cara mereka bergurau dengan satu sama lain,” kata Chong kepada Malaysiakini hari ini.

Kes penderaan seorang warga tua yang menjadi viral semalam sudah diambil tindakan oleh pihak polis. Hasil siasatan polis mangsa didapati tidak mendapat kecederaan serius, beliau tidak mahu memanjangkan kes dan diberi tahu mereka hanya bergurau sahaja.

Posted by Wowberita (Official) on Monday, January 4, 2016

Malah, mangsa berkenaan juga tidak mahu membesarkan isu ini dan berkata, beliau masih gembira untuk menetap bersama mereka.

Pihak polis juga mengesahkan bahawa tiada sebarang kecederaan pada wanita berkenaan.

Menerusi sebuah video, mangsa berkenaan memberi kenyataan bahawa rakan-rakan serumahnya hanya bergurau dan meminta orang ramai agar tidak membesarkan isu ini.

”Mereka cuma bergurau dengan saya, saya tidak menetap bersama anak-anak saya, mereka yang menjaga saya. Jadi tolong padamkan video tersebut. Mereka hanya bermain dengan saya,” kata mangsa dalam bahasa Tamil.

Walau bagaimanapun, netizen di media sosial tidak puas hati dan berpendapat bahawa mangsa mungkin diugut oleh pembuli untuk menyatakan semedikian.

Difahamkan, Ketua Pemuda MIC Bahagian Puchong, Subhash Chandra Bose memaklumkan Malaysiakini bahawa mereka juga telah melawat mangsa selepas menerima mesej dan panggilan daripada orang ramai.

Beliau juga telah mengarah Pemuda MIC di Cheras untuk sentiasa memerhati pergerakan mangsa di rumah tersebut.

Bukan itu sahaja, beliau berkata, Pemuda MIC akan cuba untuk membantu beliau dari segi kewangan dan kesihatan.

‘Majlis Raja-Raja Perlu Pertimbang Kedudukan Sultan Melaka’– Rani Kulup

$
0
0

Majlis Raja-Raja perlu bersidang dan mempertimbang untuk memasukkan Sultan Melaka Darul Islam, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Noor Jan Shah Ibni Almarhum Yam Raja Tuah ke dalam badan tertinggi Diraja negara tersebut.

Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, saranan itu dikira perlu pada saat Melaka kini memerlukan sultan yang sah dan boleh mentadbir negeri.

“Kalau Sultan Melaka itu tidak sah mengapa baginda diiktiraf di Indonesia, Brunei, Thailand, Singapura dan banyak lagi negara luar?

“Majlis Raja-Raja patut bersidang balik. Sudah tiba masanya Melaka mempunyai Sultan Melaka akan menuntut kembali hak-hak serta royalti yang harus dibayar penjajah kepada Melaka satu masa dahulu.

“Sultan Melaka bukan hendak mengganggu politik negara. Baginda mempunyai kuasa untuk mengambil semula harta Melaka yang menjadi hak negeri termasuk di Riau, Indonesia,” katanya.

Abdul Rani sebelum ini dilaporkan dikurniakan darjat Paduka Baginda oleh ‘Sultan Melaka’ sewaktu menghadiri majlis keputeraan yang dirahsiakan tempatnya.

Pada majlis tersebut, Raja Noor Jan menganugerahkan Darjah Paduka Mahkota Melaka (DPMM) kepada Abdul Rani yang membawa gelaran ‘Paduka Baginda’ di awalan namanya.

Majlis Raja-Raja merupakan sebuah badan rasmi yang ditubuhkan mengikut Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai tempat bagi Raja-Raja dan Yang di-Pertua – Yang di-Pertua Negeri bertemu dan berbincang.

Dalam beberapa perkara yang tertentu, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kerajaan supaya memperolehi nasihat daripada Majlis Raja-Raja.

Majlis ini dianggotai semua sembilan Raja Melayu dan empat Yang di-Pertua Negeri.

Dalam perkembangan berasingan, Abdul Rani menyifatkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron lebih berhemah sebelum menggelar individu lain sebagai tidak waras.

“Sifar Idris itu menunjukkan dia tidak berbudi bahasa. Sebenarnya kata-kata itu mencerminkan dirinya sendiri,” ujarnya.

Pada Sabtu, Penolong setiausaha Pemuda Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Bahagian Pandan, Syed Rosli Jamalullail meminta Idris segera memohon maaf kerana tuduhan gila kepada Raja Noor Jan yang mengaku dirinya adalah Sultan Melaka.

Tegas Syed Rosli, Idris perlu menyiasat salasilahnya sendiri sebelum memperlekehkah Raja Noor Jan.

Penulis dan pakar motivasi, Mejar (B) Mohammad Qayyum A. Badaruddin sebelum ini meminta masyarakat tidak teruja dengan penganugerahan gelaran Datuk Paduka Mahkota Melaka kepada Abdul Rani.

Jelasnya, ia strategi Abdul Rani untuk dilihat intelektual di mata masyarakat negara ini semata-mata.

Peminat Ugut Sunat, Azwan Ali Buat Laporan Polis

$
0
0

Jika sebelum ini Azwan Ali pernah membuat laporan kerana menyatakan sokongannya kepada Perdana Menteri, baru-baru ini selebriti yang sinonim dengan panggilan diva ini turut membuat laporan polis hanya kerana diugut akan disunatkan oleh individu di laman Instagramnya.

“UGUT “SUNAT” AZWAN ALI & KACAU GANGGU BIADAP #HATERSneraka! #HAMBIKkowwww,” begitulah caption yang turut disertakan bersama dengan video laporan polis tersebut. Semoga Azwan terlindung daripada peminat yang mahu mengkhatankannya itu.

Sebelum ini, Azwan juga ada memuatnaik video bagaimana dia membuang pelekat yang dihadiahkan oleh Aznil Nawawi untuk penjenamaan rendangnya. Tindakannya itu hanyalah kerana ada peminat yang mempertikaikan dirinya yang tidak mampu untuk membeli pelekat sendiri.

Elfaeza Ul Haq Terpaksa Buka Tudung Kerana Kontrak Drama

$
0
0

Pada Oktober tahun lalu, Elfaeza Ul Haq menjelaskan bahawa dia sudah lama menyimpan hasrat untuk bertudung, namun baru-baru ini pelakon yang pernah membintangi drama Adam dan Hawa ini terpaksa membuat keputusan membuka tudung bagi menghormati kontrak yang telah dipersetujui sebelum ini.

“Saya terikat dengan kontrak selama setahun bermula Mac tahun lalu untuk drama Bahasa Inggeris, dan saya mengambil keputusan untuk berhijab selepas sambutan Aidilfitri tahun lalu. Jadi bila bekerja saya perlu kekal dengan karakter seperti mana diminta dalam kontrak”

“Apabila berlakon drama saya perlu melakukan promosi dan sesetengah perkara terpaksa dimuat naik di laman sosial sendiri. Sebagai pelakon dalam kontrak saya perlu promosikan drama di Instagram”

“Mahu atau tidak saya perlu lakukan untuk kerjaya. Selalunya saya akan padam semula selepas jangka masa tertentu. Saya tidak peduli apa orang nak cakap sebab setakat ini masih ramai lagi yang memahami.

“Saya yang berhijab dan saya yang lalui pelbagai dugaan itu, jadi saya tidak kisah apa orang mahu katakan. Orang lain susah untuk faham apa yang dilalui oleh orang lain. Yang penting niat saya Allah tahu,” jelasnya kepada portal Mangga Online.

Selain itu, pelakon ini juga menjelaskan dia berhijab adalah untuk dirinya sendiri dan juga Allah selain menerima setiap doa dan nasihat yang diberikan kepadanya dengan baik.

‘Sultan Melaka’ Disiasat Di Bawah Akta Hasutan

$
0
0

Raja Noor Jan Shah Tuah yang mengakui dirinya sultan Melaka, kini disiasat bawah Akta Hasutan, kata ketua polis negeri itu Datuk Chuah Ghee Lye.

“Ada laporan polis dibuat oleh Pejabat Ketua Menteri Melaka, kami buka siasatan dan dia kini disiasat di bawah Akta Hasutan kerana dakwanya dia sebagai sultan Melaka,” katanya.

Chuah berkata, ini merupakan siasatan kedua yang terhadap Noor Jan.

Sebelum ini, kata Chua, Noor Jan disiasat atas dakwaan memalsukan surat daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang mendakwa dia diiktiraf sebagai sultan.

“Kita lihatlah, kalau ada elemen yang sama, kita satukan sahajalah (kedua-dua kes),” kata Chuah.

Isu Noor Jan kembali hangat setelah gambar dia mengadakan majlis mengurniakan darjah kebesaran kepada beberapa individu dan aktivis menjadi viral di dalam sosial media.

Antara yang menerima ‘anugerah’ tersebut ialah aktivis “raja repot”, Abdul Rani Kulup Abdullah (gambar).

Kerajaan Melaka sejak awal lagi menafikan beliau pewaris takhta kesultanan negeri.

Terdahulu Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dilaporkan berkata orang seperti Noor Jan adalah orang gila atau hidup dalam alamnya sendiri.

Noor Jan sebelum ini pernah ditahan polis bagi membantu siasatan bawah akta sama, selepas mengadakan majlis penganugerahan pingat, bintang dan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf.

Noor Jan berasal dari Kampung Teluk Perang, Perak juga pernah ditahan ketika dalam perjalanan ke Pulau Besar, Melaka dipercayai menghadiri majlis kesyukuran kewujudan kembali “kesultanan Melayu Melaka”.

‘Kalau KAFA Tak Mahu Ikut Syarat, Saya Taja Selangor’– Datuk Seri Vida

$
0
0

Jika Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) enggan mengikut dua syarat yang telah ditetapkan, Vida Beauty Sdn Bhd mahu menaja Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali dengan nama Datuk Seri Vida berkata setakat ini tiada persetujuan rasmi dibuat oleh KAFA.

“Secara lisan mereka setuju namun kalau KAFA tidak mahu ikut syarat saya, saya pergi taja Selangor,” beliau dipetik sebagai berkata.

Ketika ini Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa sedang menunaikan umrah dan dijangka membuat sebarang pengumuman mengenai penajaan itu sebaik pulang.

Difahamkan, Datuk Seri Vida memilih Kelantan kerana berpendapat mereka sebuah pasukan hebat.

Sementara itu, pemain sayap Kelantan, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria akui tidak kisah dengan dua syarat dikenakan pengasas produk Qu Puteh Datuk Seri Vida untuk menaja pasukan pantai timur itu.

Wan Zaharulnizam atau Kecik menjelaskan warna merah jambu atau warna apa sekalipun tidak akan memberi kesan kepada prestasi sesebuah pasukan.

Kecik melihat tajaan Datuk Sri Vida itu mampu mengubah nasib Kelantan yang ketika ini berdepan krisis kewangan.

Pemain berusia 25 tahun itu mahu penyokong melihat perkara ini dari pandangan yang lebih luas dan jangan hanya menjadikan soal nama pasukan dan warna stadium sebagai satu isu sebaliknya memandang perkara ini sebagai salah satu cara meningkatkan mutu permainan bola sepak Kelantan.

“Kita pakai apa saja nama pasukan, jika penyokong dapat memberi sokongan sudah pasti Kelantan akan meraih kemenangan,” jelasnya.

Sebelum ini, Vida menyatakan kesudian menaja pasukan The Red Warrior dengan dua syarat iaitu mahu agar Stadium Sultan Muhammad IV dicat semula dengan warna kegemaran Vida iaitu merah jambu.

Syarat kedua pula adalah menamakan semula pasukan Kelantan sebagai Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (TRW) seperti pasukan Negeri Sembilan yang telah dijenamakan semula sebagai NS Matrix.


Netizen Puji Model Cantik Buat Majlis Bertandang Cara ‘Simple’

$
0
0

Bila difikirkan sejenak, bukan mudah nak buat majlis bertandang. Pendek kata, segalanya yang berkaitan dengan perkahwinan, baik majlis bertandang, hantar tanda, wang hantaran, tema baju-semuanya boleh membuatkan anda dan pasangan sakit kepala.

Kadang-kala, penyelesaiannya cukup muda iaitu kita jangan terlampau berfikir tentang apa yang orang lain kata. Ayat-ayat seperti “baju dia nampak biasa, macam murah je,” ataupun “lauk tak berapa sedaplah” memang biasa kita dengar. Sesetengah masyarakat kita memang suka memberi komen negatif hendak buat amcam mana?

Di dalam kehujanan 󾀇 󾭛

Posted by Syazwanie Yazip on Tuesday, December 29, 2015

Di saat orang lain pecah kepala untuk ‘menjaga’ hati orang lain, seorang model muslimah sambilan yang dikenali sebagai Syazwanie (Instagram @syazwanieyazip) bersama suaminya Shahiran, melangsungkan majlis bertandang dengan gaya paling simple-dengan si isteri hanya memegang beg, bukannya bunga. Mahkota atau perhiasan pun tiada cuma headchain kecil yang tidak berapa kelihatan dalam gambar.

Apa yang pasti, walaupun serba ringkas, kedua-duanya nampak begitu anggun dan kacak, walapun sekali pandang nampak bukan macam mereka yang berkahwin, tetapi macam nak pergi majlis kahwin orang lain disebabkan simple sangat.

“Ye, saya memang buat simple je. Orang pegang bunga, saya pegang beg. Orang tempah makeup artis untuk majlis, tapi saya make up sendiri je. Takpe, saya tak kisah pun. Cukuplah sekadar sederhana sahaja. Janji saya dan suami cukup bahagia dengan apa yang ada. Alhamdulillah, terima kasih banyak-banyak yang mendoakan kebahagiaan kami,” antara petikan ayat-ayat yang ditulis Syazwanie di laman facebooknya.

‘Laut Merah’ Sebab Sirih, Ejek Pengguna Internet

$
0
0

Selepas penafian Kuantan Port Consortium (KPC) bahawa ‘laut merah’ di Pantai balok dan Pantai Batu Hitam Kuantan bukan berpunca daripada perlombongan bauksit, warga Internet menjadikan perkara itu sebagai bahan jenaka.

Ia antaranya dikesan dalam Facebook Gerakan Hentikan Pencemaran Bauksit (GERAM).

Seorang pengguna Facebook dengan nama Adee Muniff melampirkan gambar sebuah lori yang telah diedit dengan membawa daun sirih berserta kapsyen:

“Sirih punca pantai sekitar Kuantan bertukar menjadi merah… Pekerja asing dilihat gemar meludah merata-rata di sekitar pelabuhan Kuantan”.

Pengguna Facebook yang menggunakan nama Apandi Ali pula membalas di bahagian komen gambar tersebut dengan mempersoalkan sama ada sirih akan diharamkan selepas ini di Malaysia.

“Mungkinkah daun sirih akan diharamkan di Malaysia,” tulisnya.

Syed Hasbullah Syed Ali pula menulis: “Haramkan sekali dengan penanaman sirih dan pemakan sirih”.

Pengguna Facebook bernama Mohd Faizal pula memuat naik gambar pencemaran yang berlaku di pelabuhan Kuantan dengan menuliskan kapsyen:

“Ini adalah sirih yang diludah oleh lebih 100 warga Bangladesh. Siapa kata ini bauksit akan direjam sampai mati,” tulisnya.

Semalam, KPC menafikan ‘laut merah’ di Pantai Balok dan Pantai Batu Hitam disebabkan perlombongan bauksit.

Menurut Ketua Pegawai Operasi KPC, Khasbullah A Kadir, sungai yang menghala ke laut di dua kawasan itu tidak bersambung dengan Sungai Pengorak.

Beliau juga berkata KPC telah menapis pelepasan air dari pelabuhan ke Sungai Pengorak dan hasilnya air di sungai itu menjadi lebih baik sejak 29 Disember tahun lalu.

Eksport bauksit Malaysia melonjak 1,100 peratus pada tahun 2014 dan Malaysia menjadi pembekal utama untuk China, selepas Indonesia mengharamkan eksport untuk menggalakkan pertumbuhan industri aluminium tempatan.

‘Rayani Air Guna Nama Islam Raih Keuntungan’– Tun Mahathir

$
0
0

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, konsep patuh syariah yang diperkenalkan oleh syarikat penerbangan Rayani Air hanyalah untuk mendapatkan keuntungan dengan menggunakan agama Islam.

“Kita dapati pemiliknya bukan orang Islam. Jadi orang bukan Islam yang patuh pada ajaran agama Islam ada juga. Dia dapat keuntungan daripada agama Islam. Sekarang ini, macam-macam benda orang cari keuntungan daripada apa yang ditafsir sebagai kehendak Islam,” katanya sewaktu wawancara eksklusif bersama FMT.

Mengulas mengenai dakwaan Mufti Perlis mengenai pramugari MAS menghidangkan arak kepada penumpang, Tun Mahathir berkata, MAS sudah lama berhenti berbuat demikian.

“Tidak ada, tidak hidang alkohol lagi. MAS sudah lama berhenti dan benda itu tidak sepatutnya timbul. Negara Islam dan penduduknya 100% Islam juga tidak suruh buat seperti itu (henti hidang alkohol sewaktu penerbangan),” katanya.

Rayani Air memperkenalkan imejnya sebagai syarikat penerbangan patuh syariah yang mewajibkan anak kapal kabinnya memakai tudung bagi yang beragama Islam, menyediakan makan minum daripada sumber halal, melarang minuman keras dan mengamalkan bacaan doa sebelum memulakan penerbangan.

Mempunyai 355 kakitangan, lapan juruterbang dan 50 petugas anak kapal kabin, nama Rayani Air merupakan hasil gabungan nama pemilik syarikat penerbangan itu iaitu Ravi Alegandrran dan isterinya Karthiyani Govindan.

Niat Bergurau Makan Diri, Wanita Dikritik Teruk Netizen

$
0
0

Seorang wanita memuatnaik sekeping gambar yang berlatar belakangkan seorang kanak-kanak penggemis di laman sosial dengan niat bergurau nampaknya memakan diri apabila gambar tersebut membuatkannya dikritik hebat netizen.

Menurut netizen, tindakan wanita itu adalah begitu bongkak kerana perbuatannya itu seperti menghina orang miskin sedangkan kanak-kanak itu memang orang susah dan perlukan bantuan, bukannya sebagai bahan lawak.

Kejadian yang berlaku di sebuah restoran yang terletak di Lahad Datu, Sabah tersebut ternyata mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial dan berikut adalah reaksi mereka.

Bagaimanapun ada netizen yang mempertahankan tidakan wanita ini kerena menurut mereka, orang yang bukan berasal dari Lahad Datu sabah tidak akan faham dengan situasi yang berlaku di sini.

Menurut mereka, kanak-kanak ini ramai dan apabila diberi wang makan akan datang lebih ramai yang akan meminta,

Ada juga yang memberitahu apa yang dilakukan itu mungkin sekadar bergurau kerana orang Lahad Datu faham dengan apa yang terjadi tetapi salahnya di memuatnaik gambar tersebut di laman sosial.

Apapun yang berlaku, jika wanita ini salah, doakan dia agar berubah dan yang pasti kita tidak tahu apa yang terjadi sebenarnya. Zaman sekarang sudah menjadi kewajiban ramai orang untuk menghukum sesuatu asbab dan perkara yang mereka sendiri tidak tahu hujung pangkalnya.

Soo Wincci Akui Hampir Muflis Kerana Kritik PM

$
0
0

Berpunca daripada menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap Perdana Menteri sebelum ini, penyanyi Soo Wincci mengakui terpaksa menanggung hutang sehingga nyaris diiystiharkan muflis kerana gagal mendapatkan tajaan mengadakan konsertnya pada tahun lalu.

“Konsert itu tidak gagal kerana saya berjaya memberi persembahan terbaik kepada penonton. Cuma ia gagal daripada segi kewangan. Jujurnya saya hampir muflis kerana hutang yang ditanggung. Mujurlah rakan-rakan membantu meminjamkan wang bagi menyelesaikan hutang itu.

“Bayangkan, kesihatan saya juga tidak stabil ketika itu kerana terlalu kuat bekerja,” jelasnya kepada mStar Online. Sebelum ini, Wincci nekad meneruskan konsertnya dengan melaburkan RM500,000 selepas beberapa penaja menarik diri gara-gara desakannya agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

Ekoran itu, Wincci tidak dapat melaburkan wangnya untuk membuat promosi konsert berkenaan sehinggakan tiket persembahan tidak mendapat sambutan. Bagaimanapun, penyanyi ini tidak menyesal kerana perkara tersebut membuatkan dia dikenali sehingga ke luar negara.

Viewing all 4997 articles
Browse latest View live